Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS T'ganu tak mahu 'sebakul' dengan pihak desak Parlimen dibubar
Diterbitkan:  Oct 12, 2022 5:07 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

PAS sama sekali tidak akan 'sebakul' dengan pihak yang bertegas agar Parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum (PRU) ke 15 diadakan.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata oleh demikian DUN di bawah pentadbirannya tidak akan dibubarkan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri diadakan serentak.

"(Pembubaran) Parlimen tidak melibatkan kerajaan negeri (untuk turut sama terbubar). Jadi di pihak kami tidak ada keperluan untuk menghadap Tuanku Sultan.

"Tentulah agak janggal kalau kita yang desak (PRU tidak diadakan) dan kita turut sama masuk sebakul dengan orang yang kita desak itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai Tadbir Negeri di Terengganu, hari ini.

Namun dia berkata perkara itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat PAS Pusat di Kuala Lumpur, esok.

Samsuri berkata demikian ketika mengulas sama ada pilihan raya peringkat negeri perlu dijalankan serentak bagi mengelakkan pembaziran kos sekiranya ia diadakan berasingan.

PAS sebelum ini memutuskan tiga negeri yang ditadbirnya, iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu, tidak akan membubarkan DUN dalam masa terdekat.

Presidennya, Abdul Hadi Awang menjelaskan keputusan itu dibuat bagi membolehkan segala usaha ditumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pertengahan November hingga Mac 2023.

Mengulas lanjut, Samsuri berkata Umno dan BN adalah pihak yang bertanggungjawab dalam mengheret rakyat dalam situasi politik semasa hari ini.

"Siapa yang mula-mula nak buat PRU dan menyusahkan rakyat, yang mana mereka tahu negeri-negeri tak berhajat untuk mengadakan pilihan raya dan ia telah dimaklumkan kepada mereka...termasuk negeri-negeri ditadbir PH.

"Bila diberitahu tidak ada hujah yang kuat untuk adakan PRU tapi nak buat juga, maka merekalah yang mengheret rakyat kerana (ingin) memenuhi kehendak peribadi beberapa pemimpin mereka yang ada agenda peribadi," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS