Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB N Sembilan serah pada majlis presiden PH isu bubar DUN

Di sebalik keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan parlimen, Menteri Besar Aminuddin Harun berkata dia akan menyerahkan kepada majlis presiden gabungan itu untuk membuat keputusan.

Aminuddin, yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, berkata kerajaan negeri akan akur dengan sebarang keputusan yang dibuat.

“Saya sudah mendapat perkenan daripada Tuanku (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir). Tuanku menitahkan terpulang kepada kerajaan negeri dan ketika itu apabila kita maklumkan nak buat tahun depan, Tuanku tak ada halangan ketika itu.

“Tuanku menitahkan sekiranya kerajaan negeri masih ada mandat, boleh adakan (pilihan raya) tahun depan.

“Kami tidak tahu apa keputusan majlis presiden (PH). Kita tunggu majlis presiden untuk buat pengumuman petang ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri hari ini.

Mengulas perkembangan di Pulau Pinang yang dilaporkan pertimbangkan semula keputusan untuk menangguhkan pembubaran DUN, Aminuddin berkata pihaknya sudah menyampaikan hasrat dan cadangan.

“Kami sudah menyampaikan hasrat dan cadangan dari segi kebaikan dan keburukan (untuk adakan pilihan raya sekarang) kepada majlis presiden. Kita akan akur kepada keputusan majlis presiden,” katanya. 

Mesyuarat majlis presiden PH yang diadakan petang ini dijangka akan menyentuh cadangan untuk membenarkan Pulau Pinang menarik balik keputusan menangguhkan pembubaran DUN dan mengadakan pilihan raya negeri dan persekutuan secara serentak.

Sementara itu, ditanya sama ada PH Negeri Sembilan bersedia menghadapi pilihan raya yang semakin hampir, Aminuddin berkata jentera parti telah diaktifkan sejak perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran parlimen pada Isnin.

Dia memberi jaminan PKR akan meletakkan calon masing-masing di Jempol serta kerusi Parlimen Kuala Pilah.

"Sebelum ini, itu kawasan Bersatu. Kami akan bawa calon sendiri kali ini. PKR juga akan selesaikan isu calon dalam masa terdekat ini.

"Saya rasa dalam masa terdekat boleh umumkan calon. Saya rasa kali ini calon keluar awal, bagi kawasan yang tidak ada masalah.

"Kami boleh menjangkakan muka lama, muka baru pun ada," katanya.

Semasa PRU ke-14, Eddin Syazlee Shith dari Bersatu bertanding di Kuala Pilah dengan tiket PH dan menewaskan Umno dan PAS dengan memperoleh 18,045 undi.

Bagaimanapun, Bersatu keluar dari PH melalui Langkah Sheraton pada 2020 yang membawa kepada kejatuhan pentadbiran persekutuan PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS