Ucapan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mendapat perhatian ramai selepas dia secara terbuka berkata, kepemimpinan parti kompenan BN itu akan menghadapi perbicaraan jenayah sekiranya mereka tewas lagi dalam pilihan raya umum (PRU).
Bercakap pada Perhimpunan Agung MIC ke-76 pada Isnin lalu, Ahmad Zahid mendakwa, bagi mengelakkan hal itu berlaku dia 'mewajibkan' BN untuk mencapai kemenangan dalam PRU ke-15 nanti.
Kata ahli parlimen Bagan Datuk itu lagi, BN perlu menjadi dominan dalam kerajaan selepas ini.
Ahmad Zahid juga menegaskan PRU akan datang - yang belum ditetapkan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya - adalah 'ibu' segala PRU di negara ini.
"Kalau kita kecundang, nasib kita lebih buruk daripada PRU ke-14.
"Bukan saya saja kena dakwa (di mahkamah), Tok Mat (Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan), kamu dalam senarai menunggu. Tan Sri Vicky (Presiden MIC SA Vigneswaran) jangan ketawa... kamu juga termasuk. Apa lagi Datuk Seri Saravanan (timbalan presiden MIC) dan menteri sumber manusia sementara).
"(Presiden MCA dan menteri pengangkutan sementara Wee) Ka Siong? Mereka tidak akan melupakan kamu. Kamu juga akan didakwa. (Menteri pertahanan sementara) Hisham (Hishammuddin Hussein) jangan senyum.
“Bagi mengelakkan (perkara) ini, kita wajib menang dengan dominan di dalam PRU ke-15 ini saudara dan saudari,” kata Zahid dengan bersemangat.
Klip sedutan ucapan tersebut kini tular di media sosial.
Mengulas ucapan Ahmad Zahid, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, menyifatkan kenyataan presiden Umno terbabit sebagai pengakuan "sangat jujur" bahawa kepimpinan BN mahukan pilihan raya segera diadakan bagi menyelamatkan "kluster mahkamah".
“Selepas ucapan Zahid yang sangat jujur dan kejam di Perhimpunan Agung MIC, BN tidak perlu ada manifesto lain untuk pilihan raya akan datang sebaliknya hanya satu iaitu bebaskan kluster mahkamah Umno dan BN daripada didakwa di mahkamah dan dihantar ke penjara!” kata Lim , dalam satu kenyataan.
Sementara itu, penyandang ahli parlimen Klang Charles Santiago pula mendakwa desakan Ahmad Zahid untuk mengadakan PRU dalam tempoh terdekat adalah bagi memulihkan reputasi pemimpin Umno itu sendiri.
“Kita telah melihat demokrasi dikepung di Asia Tenggara kerana persaingan geopolitik yang sengit, ketidakupayaan untuk mencapai peralihan kuasa yang lancar dan sudah tentu rasuah menjadi perkara biasa," katanya.
Tambah ahli parlimen DAP itu, percaturan Ahmad Zahid kini mengambil alih keadaan, bermula dengan mengetepikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri, dan kini meletakkan Ismail Sabri Yaakob dalam keadaa tidak ada pilihan.