Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakyat tahu alasan sebenar Ismail Sabri bubar parlimen - Saifuddin
Diterbitkan:  Oct 12, 2022 11:16 AM
Dikemaskini: 3:16 AM

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah, mendakwa pihaknya yakin rakyat mengetahui alasan sebenar perdana penteri sementara Ismail Sabri Yaakob mahu mengadakan PRU ke-15 dalam masa terdekat.

"Ia tidak lain adalah berpunca daripada tekanan dan desakan oleh Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi).

"Justeru perdana menteri usahlah mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah yang dihadapinya itu," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Panyandang ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ismail Sabri yang mengaitkan pembubaran parlimen dengan surat yang dipersembahkan 12 orang bekas menteri PN kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini.

Terdahulu Ismail Sabri berkata, tindakan menteri PN yang mengutus surat itu telah mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kerajaan serta membelakangkan institusi perdana menteri.

Dia turut membangkitkan kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebelum ini yang mengisytiharkan BN sebagai musuh utama PN yang mengundang bibit perpecahan.

Saifuddin menjelaskan surat yang dipersembahkan kepada Agong itu hanyalah bertujuan menyuarakan kebimbangan rakyat agar PRU ke-15 tidak dilaksanakan pada musim tengkujuh.

Menurutnya, pada masa ini rakyat mahu kerajaan memberi sepenuh tumpuan kepada langkah-langkah pemulihan ekonomi, mengawal kenaikan harga barang dan menyediakan peluang pekerjaan.

"Saya ingin menjelaskan bahawa surat tersebut hanyalah bertujuan bagi menyuarakan kebimbangan rakyat agar PRU ke-15 tidak dilaksanakan dalam musim tengkujuh di mana berkemungkinan berlaku banjir.

"PN akan terus mendahulukan kepentingan rakyat, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini.

"Ini merupakan antara sebab mengapa pengerusi PN (Muhyiddin) melancarkan skuad prihatin nasional khusus untuk berdepan bencana banjir semasa majlis pelancaran jentera PN Pahang baru-baru ini," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS