Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tanding mana? Terpulang pada kepimpinan Umno, kata KJ

Kerusi yang bakal ditandingi Khairy Jamaluddin terus menjadi teka-teki meskipun selepas parlimen dibubarkan semalam.

Bercakap kepada pemberita petang ini, penyandang kerusi parlimen Rembau itu menegaskan perkara berkenaan akan diputuskan oleh kepimpinan Umno dan dia akan mematuhi keputusan parti.

“Saya akan mematuhi keputusan parti, sama ada saya akan dicalonkan atau tidak. Dan jika saya bertanding, di mana saya akan (bertanding),” katanya selepas melancarkan buku bertajuk ‘An Overview of Disaster Life Support In Disaster Management’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

“Kita mesti percaya kepada kepimpinan parti. Jika tidak, akan berlaku banyak kekeliruan," tambahnya.

Ditanya sama ada kepimpinan parti ada memberi gambaran kerusi yang bakal ditandinginya, Khairy berkata: "Kita serahkan kepada parti. Saya pasti mereka akan membuat keputusan tidak lama lagi”.

Semalam, Khairy berkata dia terbuka untuk bertanding di mana-mana kerusi parlimen pada PRU15.

Walaupun ditawarkan kerusi oleh ramai pemimpin tempatan, dia mengulangi bahawa terpulang kepada pucuk pimpinan Umno untuk menentukan kerusi yang akan ditandinginya.

Dia memberitahu pemberita semalam bahawa dia terbuka untuk bertanding di mana-mana kawasan di Negeri Sembilan atau Lembah Klang.

"Setakat ini, kerusi untuk saya belum diputuskan," katanya.

Untuk rekod, Khairy telah mempertahankan kerusi Rembau selama tiga penggal sejak 2008.

Pada PRU14, dia memenangi kerusi parlimen itu, menewaskan pencabarnya daripada PAS dan PKR dengan memperoleh 36,096 undi.

Khairy bagaimanapun akan memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk bertanding di parlimen Rembau bagi PRU kali ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS