Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan perkenan pentadbiran Selangor diteruskan - MB
Diterbitkan:  Oct 11, 2022 3:57 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan agar pentadbiran sedia ada diteruskan, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

"Pagi ini saya telah menghadap DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam dalam sesi menghadap berjadual.

"Saya telah menyembah maklum komitmen dan persiapan kerajaan negeri dalam mendepani kemungkinan situasi banjir di Selangor, usaha pemulihan ekonomi, bantuan kebajikan, serta persiapan Belanjawan Selangor 2023 yang akan dibentangkan dalam sesi Dewan Negeri Selangor pada tahun ini.

"DYMM Tuanku berkenan agar pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain Selangor, Negeri Sembilan yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) serta negeri PAS iaitu Kedah, Terengganu, dan Kelantan memutuskan tidak membubarkan dewan undangan negeri.

Kepimpinan DAP Pulau Pinang dilaporkan membincangkan semula keputusan menangguhkan pembubaran dewan undangan negeri.

Perlis dan Perak, yang diterajui BN, akan meminta perkenan sultan masing-masing untuk membubarkan dewan undangan negeri selaras dengan pembubaran parlimen yang berkuat kuasa semalam.

Pakar perubahan iklim yang baru-baru ini memberi amaran supaya tidak mengadakan pilihan raya umum sebelum Februari tahun depan, berkata keadaan banjir semasa musim tengkujuh mungkin lebih teruk berbanding tahun lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS