Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Julung kali wanita anggotai ops menyelamat Smart sejak 1995
Diterbitkan:  Oct 11, 2022 2:47 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

Pasukan elit negara, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) buat julung kalinya dianggotai tiga wanita yang akan menyertai 122 anggota lain dalam operasi menyelamat ketika musim Monsun Timur Laut.

Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pelaksanaan Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Meor Ismail Meor Akim berkata ketiga-tiga anggota terbabit iaitu Kpl Noor Farahana Ismail, 34, dan Kpl Nurul Fatin Fazli Bazeli, 26, daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Koperal Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Nur Fitrah Amirah Suhaidi, 25, menyertai Smart pada Jun 2021.

“Sejak (Smart) ditubuhkan pada 1995, ini adalah kali pertama kita terima keanggotaan wanita. Pasukan terlatih ini amat alu-alukan penyertaan golongan wanita.

“Saya yakin pasukan ini bersiap sedia menggalas tugas walau dalam apa jua keadaan dan lokasi,” katanya kepada pemberita selepas memeriksa perbarisan komander dan aset Smart di Markas Smart, Pulau Meranti dekat sini hari ini.

Pasukan Smart ditubuhkan pada 1 Ogos 1995 di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara Nombor 19, yang terdiri daripada pegawai dan anggota PDRM, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Pada 2015, pasukan elit itu diletakkan di bawah pengurusan Nadma.

Pemangku Komander Smart Abdul Manaf Che Isa pula berkata semua anggota termasuk kaum wanita adalah terlatih, mempunyai daya tahan fizikal dan mental serta berkemahiran mengendalikan semua aset pasukan itu.

“Sebelum diserap masuk Smart, mereka akan menjalani latihan fizikal (operasi menyelamat) selama 11 minggu melibatkan operasi darat, udara dan laut. Mereka juga menjalani operasi di kawasan tinggi,” katanya.

Dari segi aset, Abdul Manaf berkata pasukan elit itu dilengkapi peralatan moden dan canggih antaranya 10 kenderaan pacuan empat roda, 10 lori, 10 bot, enam all terrain vehicle (ATV), empat van, dua jentolak dan dua motosikal scrambler.

“Aset-aset ini melengkapkan tahap siap siaga pasukan. Apabila terima notifikasi bencana, pasukan ini siap sedia ke lokasi dalam masa satu jam untuk bantu pasukan menyelamat sedia ada di lokasi,” katanya yang telah lapan tahun berkhidmat dalam pasukan itu.

Sementara itu, Koperal Udara TUDM Nur Fitrah Amirah Suhaidi, 25, berkata penyertaan beliau dalam pasukan elit itu bertujuan menimba pengalaman menerusi operasi menyelamat yang melibatkan pelbagai situasi serta lokasi.

“Ketika berada dalam pasukan TUDM, saya tidak merasai pengalaman ini (operasi menyelamat). Saya akan cuba beri perkhidmatan terbaik setanding anggota lelaki,” katanya.

Berkongsi pengalaman semasa sesi latihan, beliau berkata sesi itu membantu beliau melengkapkan diri dan meningkatkan ketahanan mental serta fizikal sebelum memulakan misi menyelamat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS