Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumber: DAP Pulau Pinang bincang keputusan tak bubar DUN

Pemimpin DAP Pulau Pinang mempunyai keraguan dengan keputusan untuk tidak membubarkan dewan undangan negeri (DUN) serentak dengan pembubaran parlimen.

Beberapa sumber memberitahu Malaysiakini bahawa kepimpinan DAP Pulau Pinang telah memutuskan malam tadi bahawa pilihan raya negeri (PRN) perlu diadakan serentak dengan pilihan raya parlimen.

Seorang sumber, yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, hanya seorang pemimpin DAP Pulau Pinang yang bimbang dengan cadangan itu, manakala yang lain menyokongnya.

“Pemimpin itu tidak membantah dengan keputusan itu tetapi bimbang bagaimana untuk menyampaikan perubahan pendirian kepada pucuk pimpinan pusat dan orang ramai,” kata sumber itu.

Sumber berkata, kepimpinan parti negeri mempunyai banyak alasan untuk meminta kepimpinan nasional Pakatan Harapan (PH) membatalkan keputusan sebelum ini untuk menangguhkan pilihan raya.

Terutamanya, ia ada kaitan dengan kebimbangan bahawa selepas pilihan raya parlimen, Umno dan PAS berkemungkinan bersatu, sekali gus memberi lebih ancaman keada PH di Pulau Pinang.

Sumber berkata, kepimpinan DAP negeri juga bimbang sekiranya pilihan raya diadakan sebelum musim tengkujuh, mereka mungkin dipersalahkan kerana memaksa rakyat Pulau Pinang turun mengundi dua kali - iaitu bagi parlimen dan DUN.

"Orang ramai mungkin menyalahkan kami atas perbelanjaan tambahan dan sumber jika pilihan raya berasingan," kata sumber itu.

Majlis kepimpinan bermesyuarat esok

Pada 5 Okt lepas, majlis pimpinan PH memutuskan bahawa negeri yang dipegang oleh gabungan itu - Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor - tidak akan membubarkan dewan undangan negeri masing-masing sehingga selepas musim tengkujuh.

Pagi ini, pimpinan PH Pulau Pinang mengadakan mesyuarat tergempar tetapi pengerusinya Chow Kon Yeow tidak mendedahkan hasil mesyuarat itu.

Sebaliknya, ketua menteri negeri berkata setiap parti komponen perlu memaklumkan ibu pejabat parti masing-masing yang seterusnya akan menyampaikan keputusan mereka kepada majlis pimpinan PH pusat.

Dia berkata jawatankuasa pusat DAP akan membincangkan perkara itu malam ini dan majlis pimpinan gabungan itu dijangka bermesyuarat esok.

Ketika diminta mengulas mengenai Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang menyatakan semalam bahawa negeri yang dikuasai PHarapan berpegang kepada rancangan sebelum ini, Chow berkata: "Itu pendirian ketika itu."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS