Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tangguh soal saksi - hakim beri amaran kepada peguam Najib

BICARA 1MDB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi amaran kepada pasukan peguam Najib Razak yang cuba untuk menangguhkan pemeriksaan balas saksi pendakwaan dalam perbicaraan rasuah membabitkan penyelewengan RM2.28 bilion dan 1MDB yang dihadapi oleh bekas perdana menteri itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah pagi ini memberi amaran awal bahawa pihak pendakwaan akan dibenarkan meneruskan pemeriksaan semula saksi dan memanggil saksi baharu, sekiranya tiada peguam tertuduh bersedia mahu menyoal balas.

Collin Lawrence Sequerah

Hakim perbicaraan itu berkata demikian selepas dimaklumkan oleh peguam bersama Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed bahawa pihak pembelaan memohon untuk menangguhkan pemeriksaan balas kerana peguam utama Muhammad Shafee Abdullah sedang menghadiri satu lagi perbicaraan di mahkamah pagi ini dan hanya boleh hadir pada petang ini.

Wan Aizuddin merujuk kepada saksi ke-40 pendakwaan dan bekas pengarah urusan AmInvestment Bank, Kok Tuck Cheong.

Selepas Timbalan Pendakwa Raya T Deepa Nair menggulung pemeriksaan utama saksi itu, Aizuddin memaklumkan bahawa pihak pembelaan mahu menangguhkan pemeriksaan balas kerana Shafee sibuk dengan satu lagi kes mahkamah.

Shafee adalah peguam bagi kes rayuan bekas pengerusi eksekutif Repco Holdings Bhd Low Thiam Hock berhubung sabitan kesalahannya serta hukuman penjara lima tahun dan denda RM5 juta kerana memanipulasi pasaran.

Rayuan berkaitan Bursa Malaysia itu dijadualkan dibicarakan di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berasingan hari ini serta Khamis dan Jumaat minggu ini.

Sebaik dimaklumkan oleh Aizuddin, Sequerah kemudian meminta peguam itu menyemak sama ada Shafee sudah sselesai dengan rayuan berkaitan pasaran saham tersebut.

Gopal Sri Ram

Pada ketika ini, ketua pendakwa, Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak dapat memanggil saksi baharu kerana beberapa saksinya - termasuk Kok - masih menunggu untuk disoal balas oleh peguam Najib.

“Kita semua mesti sesuaikan diri,” kata pendakwa raya itu mengingatkan peguam tertuduh.

Sequerah kemudian memberitahu Aizuddin bahawa walaupun hakim cuba memenuhi permintaan pasukan pembelaan sebanyak mungkin, mahkamah tidak boleh meneruskan perbicaraan dengan cara begini.

Hakim berkata Aizuddin lebih berkemampuan untuk mengambil alih pemeriksaan balas sekiranya Shafee tidak hadir, sambil menyatakan bahawa Najib mempunyai pasukan peguam yang "besar".

“Saya beri amaran awal, jika Shafee tidak dapat menjalankan pemeriksaan balas dan kamu (Aizuddin) tidak boleh gantikannya, maka saya akan menganggap pemeriksaan balas telah selesai dan meneruskan untuk mendengar pemeriksaan semula.

“Kita tidak boleh terus tangguh,” kata hakim perbicaraan itu.

Aizuddin kemudian berkata dia akan memaklumkan perkara itu kepada Shafee. Sequerah kemudian menangguhkan perbicaraan kepada jam 2.30 petang hari ini.

Minggu lalu, hakim mengingatkan pihak bahawa perbicaraan itu telah ditangguhkan sejak sekian lama apabila perbicaraan bermula pada 2019.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS