Mesyuarat Dewan Rakyat esok akan diteruskan seperti yang dijadualkan, maklum Speaker Azhar Azizan Harun.
Dia dipetik Berita Harian berkata bahawa Dewan Rakyat dijadual untuk membahaskan Bajet 2023.
"Ya (sidang) diteruskan, macam biasa, kecuali saya dimaklumkan apa-apa, setakat ini tiada sebarang pemakluman, saya tidak tahu benda ini (pembubaran Parlimen) kerana ia adalah kuasa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.
"Esok akan berlangsung waktu pertanyaan menteri (MQT), pertanyaan lisan dan diteruskan dengan pembahasan Bajet 2023," katanya hari ini.
Semalam, New Straits Times melaporkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menghadap Agong petang semalam.
Akhbar itu kemudian mendakwa bahawa Ismail telah mendapatkan perkenan Agong untuk membubarkan parlimen.
Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke London malam tadi.
Baginda berdua mengadakan lawatan khas ke United Kingdom (UK) bermula hari ini hingga 16 Okt ini.
Hari ini, NST turut melaporkan dalam artikel susulannya yang bertajuk, “Dissolution imminent” (Pembubaran pasti berlaku) tetapi tidak mengesahkan sama ada perkenan pembubaran parlimen itu telah ditandatangani atau tidak.
Begitu juga dengan China Press, yang memetik "sumber" yang enggan dinamakan mendakwa Ismail Sabri dijangka mengumumkan pembubaran parlimen pada jam 3 petang hari ini.
Bagaimanapun, Ismail Sabri dijadualkan menghadiri perhimpunan perwakilan MIC peringkat kebangsaan di Matrade Exhibition and Convention Centre di Kuala Lumpur, pada 2.30 petang hari ini.
Oleh itu, kebarangkalian Ismail Sabri untuk mengumumkan pembubaran parlimen pada jam 3 petang ini adalah rendah.
Dia juga dijadual menghadiri mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno pada jam 8 malam ini.