Mangsa banjir di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor di Ipoh amat berterima kasih dengan sumbangan banyak pihak, terutama bantuan berupa makanan bagi meringankan beban yang ditanggung.
Bagaimanapun rata-rata dalam kalangan mereka masih berharap ada pihak yang dapat membantu mereka dari segi membaiki kerosakan peralatan dan struktur kediaman.
Seorang peniaga Ahmad Firdaus Majid, 46, yang ditemui Bernama berkata, mereka sekeluarga amat berterima kasih dengan bantuan ramai, namun apa yang amat diperlukan kini adalah bantuan bagi membaiki banyak kerosakan akibat banjir.
Seorang warga emas Marliah Nadi, 72, berkata selama lebih 40 tahun menetap di situ, dia tidak pernah mempunyai pengalaman berhadapan dengan banjir kilat yang serius sehinggakan banyak barang di rumah perlu dibuang, kerana kebanyakannya diperbuat daripada kayu yang mudah rosak akibat banjir.
“…. banyak terpaksa dibuang, hampir penuh satu lori. Peralatan elektrik seperti mesin basuh dan peti ais pula masih tidak dapat dipasang lagi kerana saya risau terkena renjatan elektrik,” katanya.
Selasa lepas, puluhan penduduk kawasan berkenaan terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sri Klebang akibat banjir dan mereka hanya dapat kembali ke kediaman masing-masing dua hari kiemudian, .
- Bernama