Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PRU15 di musim tengkujuh' - PH Johor kecewa tapi siap siaga
Diterbitkan:  Oct 10, 2022 10:11 AM
Dikemaskini: 2:35 AM

Walaupun kecewa jika pilihan raya umum ke-15 diadakan dalam masa terdekat namun Pakatan Harapan Johor memaklumkan gabungan itu sentiasa bersiap siaga.

Bagaimanapun, PH Johor menegaskan keutamaan negara pada ketika ini sepatutnya bersedia untuk menangani kemungkinan musibah banjir di musim tengkujuh berbanding menghadapi PRU15.

“Mengulangi pendirian, PH Johor sekali lagi menegaskan bahawa keutamaan kita pada ketika ini ialah mempersiapkan diri bagi menghadapi kebarangkalian besar risiko banjir, bukan sibuk membincangkan soal kuasa dan pilihan raya.

“Meskipun begitu, PH Johor akan tetap bersiap siaga sekiranya parlimen dibubarkan bila-bila masa dari sekarang.

“Justeru, dalam memberikan fokus para petugas parti, kepimpinan segenap peringkat serta wakil-wakil rakyat PH Johor untuk berdepan musim tengkujuh, kami juga akan tetap mempersiapkan jentera parti agar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran dan pelaksanaan pilihan raya,” menurut kenyataan PH Johor hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Pengerusi PH Johor Salahuddin Ayub dan tiga timbalan pengerusinya Aminolhuda Hassan, Syed Ibrahim Syed Noh dan Liew Chin Tong.

PH Johor telah mengadakan mesyuarat semalam bagi membincangkan spekulasi berkaitan pembubaran Parlimen yang sedang hangat dikatakan.

“PH Johor menzahirkan kekecewaan terhadap perkara ini memandangkan negara sedang berhadapan kebarangkalian musim tengkujuh yang boleh menyebabkan banjir di banyak lokasi termasuklah Johor.

“Perkara ini telah pun diramalkan berdasarkan fakta, data dan sains menerusi kajian Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.

Dilaporkan Majlis Tertinggi (MT) Umno akan bermesyuarat hari ini, susulan spekulasi mengenai pembubaran parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS