Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sungai Padang Terap makin naik melebihi paras bahaya
Diterbitkan:  Oct 10, 2022 9:33 AM
Dikemaskini: 1:33 AM

Sungai Padang Terap, di Kampung Kubu dalam daerah Padang Terap terus mencatat kenaikan bacaan melebihi paras bahaya iaitu 14.07 meter (m) setakat pukul 8 pagi ini berbanding 13.79 meter, semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata bacaan itu jauh melepasi paras bahaya yang ditetapkan iaitu 13.02 meter.

Beliau berkata peningkatan paras air sungai itu disebabkan faktor hujan di beberapa kawasan sekitar itu malam tadi namun hujan telah pun berhenti di daerah Padang Terap.

“Sementara itu, tiga sungai di tiga daerah masih merekodkan paras air melebihi tahap waspada iaitu Sungai Perik di daerah Padang Terap (11.76m); Sungai Anak Bukit di Kota Setar (2.29m) dan Empangan Beris di Sik dengan 84.10 meter,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Baling, pada pukul 2 petang semalam di Kompleks Rakan Muda kini menempatkan 154 mangsa daripada 49 keluarga setakat pagi ini.

“Sebanyak 28 kampung terjejas akibat banjir antaranya Kampung Temusu, Kampung Dusun, Kampung Iboi, Kampung Memali, Kampung Tualang dan beberapa kampung lain yang terletak berdekatan kawasan sungai itu,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS