Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dijadual akan mengadakan mesyuarat khas esok, kata salah seorang ahli MKT.
"Ya, esok ada mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno," katanya ringkas kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, sumber berkenaan tidak dapat mengesahkan agenda mesyuarat ketika ditanya mengenai perkara itu.
Sementara itu, laporan Malay Mail yang memetik sumber dalaman parti itu berkata mesyuarat tersebut berlangsung susulan desas-desus mengenai pembubaran parlimen.
“Malam esok (Isnin), akan ada satu mesyuarat khas melibatkan MKT Umno,” kata sumber itu kepada Malay Mail.
Menurutnya, pertemuan itu dijangka berlangsung selepas mesyuarat biro politik parti pada sebelah malam.
Ujar sumber tersebut, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dikatakan berada bawah tekanan untuk menyegerakan pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) di samping pimpinan parti itu yakin akan memenangi PRU.
Sebelum ini terdapat desas desus parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat. Pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas parlimen dibubarkan.
Ismail yang juga naib presiden Umno menerima tekanan daripada partinya sendiri untuk segera membubarkan parlimen, namun pembangkang membantah PRU15 diadakan tahun ini atas alasan musim tengkujuh.
Satu lagi topik yang mungkin dibincangkan esok dipercayai berhubung pendirian Umno terhadap kerjasama dengan PAS pada PRU15.
Pada Selasa lalu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, PAS perlu memilih Umno atau Perikatan Nasional (PN) dan perlu memutuskan hubungan dengan PN sekiranya mahu bekerjasama dengan Umno.