Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Aktivis ditahan berhubung ciapan konvoi Ali Rustam buat pusingan-U
Diterbitkan:  Oct 9, 2022 8:56 PM
Dikemaskini: 2:51 PM

Aktivis Jay Jay Denis ditahan polis dipercayai berhubung ciapan di Twitter bulan lepas membabitkan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam.

Menerusi ciapan pada 6 Sept lalu, Jay Jay mendakwa melihat konvoi anggota polis bersama kenderaan pengiring menghalang lalu lintas di Lebuhraya Sprint dengan melakukan pusingan U.

Katanya, Ali kemudian dilihat keluar daripada salah sebuah kenderaan berkenaan.

Jay Jay mendakwa Ali menghadiri makan malam bersama keluarganya di sebuah restoran di Medan Damansara, Kuala Lumpur.

Dia turut menyiarkan rakaman konvoi kenderaan yang membawa Ali meninggalkan kawasan itu selepas makan malam berkenaan.

Aktivis itu hari ini memaklumkan di Facebook bahawa tiga pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah telah datang ke rumahnya di Lembah Klang untuk menahannya.

Jay Jay berkata anggota polis berkenaan memaklumkan laporan polis telah dibuat terhadapnya berhubung ciapan berkenaan.

Dia kemudian dibawa oleh pegawai polis ke IPD Alor Gajah.

Ketika dihubungi, Jay Jay memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa dia akan ditahan semalaman.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Arshad Abu mengesahkan aktivis itu ditahan di lokap IPD Alor Gajah.

Arshad memberitahu Malaysiakini bahawa siasatan dilakukan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Katanya, Jay Jay juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia - yang berkaitan penyalahgunaan internet.

Bagaimanapun katanya, Jay Jay akan dibebaskan dengan jaminan polis esok dan tidak akan direman.

Peguam veteran, Ambiga Sreenevasan dalam hantaran di Twitter berkata dia dalam perjalanan ke Melaka untuk mewakili Jay Jay.

Selaku Yang di-Pertua Negeri Melaka, Ali merupakan ahli Majlis Raja-Raja.

Tahun lepas, empat didakwa di mahkamah kerana menghina Ali berhubung catatan di Twitter mengenai lawatannya ke Kesang Tua - lokasi yang menjadi tempat latihan pemenang pingat emas Olimpik Filipina Hidilyn Diaz.

Seorang lagi disiasat di bawah Akta Hasutan berhubung ciapan tanda soal "???" sebagai respons kepada ciapan Ali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS