Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surat menteri PN pada Agong: Tak timbul isu kerajaan 'tumbang' - PM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata tidak timbul isu keabsahan pentadbirannya walaupun 12 menteri kabinet membantah pilihan raya umum ke-15 diadakan tahun ini dalam surat mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ismail Sabri berkata tindakan menteri PN itu tidak sama dengan menarik balik sokongan sebagai ahli parlimen kerajaan.

"Menteri kabinet tak ada kuorum. Kalau menteri kabinet tulis surat, dia tak kata letak jawatan.

"Kalau menteri kabinet letak jawatan sekali pun kabinet tetap berfungsi, kerajaan masih berfungsi, kita lantik menteri baru ganti menteri letak jawatan," katanya selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Kerajaan pimpinan BN sekarang juga terdiri daripada 12 menteri Perikatan Nasional daripada Bersatu dan PAS, yang minggu lalu telah memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tidak membenarkan pilihan raya tahun ini kerana risiko banjir.

Kedua-dua gabungan itu bagaimanapun akan bertarung dalam saingan merebut kekuasaan pada PRU15.

Susulan penyerahan surat mereka, pemimpin Umno termasuk Ketua Pemudanya Asyraf Wajdi Dusuki telah menyoal jika Ismail Sabri masih mendapat sokongan penuh menteri-menterinya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan terdapat ramai yang mengulas tanpa memahami peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara yang boleh menyebabkan perdana menteri kehilangan sokongan.

“Bila bercakap tak ikut perlembagaan itu yang orang jadi keliru. Sokongan itu adalah sokongan ahli Dewan Rakyat, kalau mereka tarik diri dan kurang daripada 112 majoriti mudah maksudnya kerajaan tumbang seperti yang berlaku pada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sebab itu seluruh kabinet terpaksa meletakkan jawatan keseluruhan.

“Tapi kalau sokongan pada ahli dewan masih kekal, tak ada perubahan, tak ada isu mengatakan kerajaan tumbang," katanya.

Menteri Hal Ehwal Agama Idris Ahmad ketika ditemui kemudian berkata partinya PAS tidak pernah membangkitkan isu menarik sokongan terhadap kerajaan.

“Sokong, bila kami kata tak sokong,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, salah seorang 12 menteri PN yang berkenaan, turut berkata surat itu dan sokongan kepada Ismail Sabri merupakan dua isu berbeza.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS