Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS, Bersatu tolak PRU tahun ini bukan sebab takut hilang jawatan

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah, menafikan takut kehilangan jawatan menjadi punca parti itu dan Bersatu menolak cadangan pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini.

Sebaliknya kata pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang itu, kebimbangan mereka kepada kemungkinan masalah cuaca seperti banjir dan hujan lebat mendorong ketetapan itu dibuat.

Tambahan pula, katanya, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan ada kemungkinan berlaku banjir pada hujung tahun ini.

“Kami menteri-menteri Bersatu dan PAS tak ada isu jawatan sebab jawatan ini hanya sementara, dan ia bukan milik kami pun, sebaliknya hak parti.

“Kami ini wakil parti saja, jadi kalau parti kata jadi, jadilah (menteri).

"Pada kami, kami tidak pernah bincang pun soal jawatan,” katanya pada sidang media di Kuantan, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Umno, Ahmad Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan tindakan 12 menteri PN menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon tiada PRU diadakan tahun ini kerana takut kehilangan jawatan dan kuasa.

Ahmad Zahid mendakwa, anggota kabinet dari PN itu bimbang akan dihukum pengundi sendiri berikutan ada dalam kalangan mereka sebelum ini bertindak melompat parti.

Menurut Safudin, ketika ini Bersatu sudah menyatakan pendirian untuk menolak PRU diadakan dalam masa terdekat, dan pendirian sama diambil PAS.

“Begitu juga dengan Pakatan Harapan (PH), mereka setuju PRU diadakan tahun depan, jadi sekarang ini tinggal siapa lagi yang bersungguh-sungguh tetap mahukan PRU15 ketika banjir?” katanya.

Tambah ahli parlimen Indera Mahkota itu, PRU sepatutnya dilakukan ketika rakyat selamat dan negara pula berada dalam keadaan aman serta tidak terbeban dengan isu seperti banjir.

Katanya, pemilihan tarikh untuk PRU ke-15 juga perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak merosakkan semangat anak muda yang dikategorikan sebagai pengundi kali pertama untuk menggalakkan mereka keluar mengundi.

“Kalau boleh saya nak tanya anak muda, Undi18 dan pengundi kali pertama: bila mereka mahu PRU diadakan.

“Kita mahu semua dapat keluar mengundi beramai-ramai, barulah dinamakan demokrasi yang sihat,” kata menteri luar itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS