Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lanjutan pengecualian duti import, cukai eksais akan lonjak jualan kenderaan elektrik

Lanjutan pengecualian duti import dan cukai eksais bagi kenderaan elektrik (EV) lengkap dan dipasang siap sepenuhnya (CBU) dalam Bajet 2023 akan meningkatkan jualan EV di Malaysia dan melonjakkan industri yang berkaitan dengannya.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata persatuan itu menyambut baik lanjutan yang diumumkan kerajaan walaupun pada awalnya lanjutan itu diharapkan sehingga 10 tahun.

“Saya percaya dengan lanjutan itu industri EV akan mendapat manfaat memandangkan lebih ramai yang akan membeli EV.

“Industri hiliran EV juga akan meningkat melalui pertambahan stesen pengecas dan ini baik untuk industri EV secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, menurut Gemilang International Ltd, sebuah badan penyelesaian bagi syarikat kenderaan komersial, keputusan kerajaan untuk mengecualikan cukai import EV sehingga akhir 2024 akan menyumbang kepada peningkatan permintaan terhadap EV di Malaysia.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pang Chong Yong berkata pihaknya berharap akan ada lebih banyak inisiatif untuk mengalakkan pembangunan bas EV di Malaysia dan mewujudkan persekitaran operasi hijau untuk industri bas.

“Peruntukan kerajaan sebanyak RM180 juta kepada sektor bas untuk meningkatkan jangkauan kepada penumpang di Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching memberi petanda baik kepada pembuat bas seperti kami.

“Kami sudah bekerjasama dengan kerajaan Sabah dan Sarawak mengenai pengenalan bas EV di negeri itu, yang kini dalam peringkat percubaan,” katanya dalam kenyataan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS