Tiga tahun tertangguh, akhirnya masjid terapung di Bagan Datuk, Perak, dijangka siap bulan depan.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Masjid Tuminah Hamidi itu dijangka disiapkan menggunakan sumbangan duit daripada keluarganya secara “sedikit-sedikit”.
“Bulan depan sepatutnya sudah siap,” ujarnya kepada Malaysiakini.
Dia menjelaskan pembinaannya tertangguh selama tiga tahun kerana akaun Yayasan Akalbudi, sebagai sumber dana utama pembinaannya, dibekukan oleh kerajaan.
Selain itu, katanya, perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini juga menyebabkan kelewatan masjid terapung pertama di Kuala Sungai Perak itu.
“Di sebalik terjejas akibat PKP, penerusan masjid juga tidak dapat dilakukan kerana dana yang dibekukan oleh perintah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan mahkamah,” kata anggota parlimen Bagan Datuk.
Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Zahid pada 13 April lalu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pembekuan akaun Yayasan Akalbudi menyebabkan kerja-kerja kebajikannya terjejas, termasuk pembinaan Masjid Tuminah Hamidi.
Katanya, yayasan itu menyumbang RM8 juta untuk projek masjid itu.
Masjid Tuminah Hamidi pada asalnya dirancang untuk menggunakan 100 peratus dana Yayasan Akalbudi yang diasaskan Zahid.
Namanya diambil sempena nama ibu dan ayah Zahid yang telah meninggal dunia, iaitu Hamidi Abdul Fatah dan Tuminah Abdul Jalil.
Zahid sebelum ini memberitahu bahawa masjid itu mampu menampung sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa.
Mercu tanda baru Bagan Datuk itu, katanya, akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti ruang solat, dewan serba guna dan dataran dalam pekarangan masjid.
Tinjauan Malaysiakini daripada luar masjid pada minggu lepas mendapati rumah ibadat itu dalam keadaan sempurna, siap rangka luarnya dan sudah bercat cantik.