Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu penerima BKM lahirkan anak dapat RM500
Diterbitkan:  Oct 7, 2022 5:30 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Para ibu daripada isi rumah yang menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melahirkan anak pada 2023 akan menerima bantuan tunai one off sebanyak RM500 di bawah program CahayaMata Keluarga Malaysia.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata peruntukan sebanyak RM150 juta itu bertujuan meningkatkan kadar kelahiran, di samping mengurangkan masalah kanak-kanak bantut.

"Jadi saya rasa masih sempatlah lagi untuk ambil peluang mendapatkan zuriat pada tahun hadapan. Tapi kenalah ingat bahawa bantuan ini hanya kepada ibu bukannya kepada bapa,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Bajet 2023 adalah yang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang kedua sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 Sept tahun lepas.

Tengku Zafrul berkata bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja setelah mengambil tempoh career break (berhenti sementara daripada pekerjaan), kerajaan bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang diterima mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2028.

"Bagi menangani isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga, Pusat Sokongan Psikososial Setempat akan diperkukuh. Sejumlah RM8 juta disediakan untuk pusat ini berperanan sebagai lokasi intervensi awal serta sesi advokasi psikososial dan kaunseling.

"Kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan pusat perlindungan seperti PS The Children untuk memberi sokongan kepada mangsa,” katanya.

Kerajaan juga katanya akan memperbanyak ujian saringan melalui subsidi ujian mamogram dan program saringan kanser serviks kepada kaum wanita dengan peruntukan RM11 juta.

Beliau berkata pelaksanaan saringan kanser serviks juga akan dirintis menggunakan kaedah baharu ujian saringan PCR yang telah dipelopori oleh Yayasan ROSE dengan kerjasama Universiti Malaya dan Universiti Malaysia Sarawak.

Sementara itu, bagi mendorong lebih ramai wanita meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah baik strategi pemasaran, sejumlah RM235 juta dana pembiayaan tersedia khas untuk wanita di bawah Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita Tekun, DanaNita MARA dan Biz Lady Bank Rakyat.

Bagi terus memperkasakan peranan wanita di peringkat kepimpinan korporat, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran wanita, mengenal pasti dan seterusnya menambah bilangan wanita yang layak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

"Saya percaya parti-parti politik pun sedang giat mengenal pasti serta berazam untuk mencalonkan lebih ramai wakil rakyat wanita untuk PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan juga menyediakan RM188 juta bagi program pendidikan awal kanak-kanak di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat atau KEMAS.

Ini katanya, termasuk pembinaan 10 taska KEMAS termasuk tiga projek baharu di Port Dickson, Negeri Sembilan; Limbang, Sarawak dan Pasir Puteh, Kelantan.

"Bagi meringankan beban kewangan ibu bapa, kerajaan juga bersetuju melanjutkan sehingga tahun taksiran 2024 pelepasan cukai sehingga RM3,000 ke atas bayaran yuran taska dan tadika berdaftar,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS