Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bayaran Bantuan Keluarga Malaysia sehingga RM2,500
Diterbitkan:  Oct 7, 2022 4:40 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Menyedari manfaat yang diraih daripada pemberian tunai langsung, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, hari ini mengumumkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan terus ditambah baik.

Antarannya, keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 layak menerima bantuan tunai dengan jumlah bergantung kepada saiz keluarga.

“Bagi isi rumah sehingga empat anak, layak terima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000,” katanya pada pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata ia kategori baharu sebagai usaha kerajaan meringankan beban keluarga yang menyara ramai anak.

“Bagi isi rumah sehingga empat orang anak pula layak menerima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000. Bagi isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000, BKM yang disediakan adalah antara RM500 hingga RM1,250 bergantung kepada bilangan anak.

“Kepada warga emas tiada pasangan serta golongan bujang, mereka akan terus menerima BKM masing-masing sebanyak RM600 dan RM350 bergantung kepada had pendapatan tertentu,” katanya.

Tengku Zafrul berkata bagi 2023, bantuan tambahan RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan akan diteruskan.

“Ini bermakna ibu atau bapa tunggal layak menerima bantuan maksimum sehingga RM3,000. Kadar BKM maksimum ini meningkat berbanding RM2,500 tahun ini,” katanya.

Tengku Zafrul berkata BKM 2023 akan memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dengan peruntukan RM7.8 bilion dan BKM 2023 merupakan bantuan komprehensif yang ditambah baik dengan ketara jika dibandingkan Bantuan Sara Hidup 2020 melibatkan lima juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata nasib golongan susah diberi keutamaan khusus dengan peruntukan RM2.5 bilion bagi 2023 iaitu peningkatan signifikan berbanding RM1.5 bilion pada 2020.

“Sebelum ini kerajaan telah memberi subsidi bil elektrik sehingga RM40 kepada isi rumah miskin tegar di bawah senarai e-Kasih. Bermula 2023, pemberian subsidi bil eletrik sehingga RM40 akan diperluas mengikut Pendapatan Garis Kemiskian (PGK) Makanan 2019 iaitu isi rumah berpendapatan RM1,169 ke bawah berbanding syarat semasa RM980 ke bawah.

“Saya berharap peluasan syarat penerima bantuan mengikut PGK Makanan ini memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat,” katanya.

Tengku Zafrul turut memaklumkan atas keprihatinan kerajaan kepada golongan susah dan B40, bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan BKM untuk 2023 akan melebihi RM10 bilion.

Bagi menyegerakan agenda membasmi kemiskinan tegar, Tengku Zafrul memaklumkan sebanyak RM1 bilion disediakan iaitu RM750 juta peruntukan kerajaan di samping program tanggungjawab sosial korporat oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bernilai RM250 juta. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS