Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah arah polis serah dokumen SOP siasatan pada isteri Amri

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan isteri aktivis sosial, Amri Che Mat untuk mendapatkan akses terhadap dokumen polis berkaitan prosedur operasi standard yang digunakan dalam siasatan kehilangan suaminya kira-kira enam tahun lalu.

Mahkamah memberi masa 14 hari bermula hari ini kepada polis untuk menyerahkan dokumen tersebut kepada Norhayati Mohd Ariffin.

Norhayati memohon dokumen itu untuk membantu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menentukan sama ada siasatan polis berhubung kehilangan Amri mengikut undang-undang atau tidak.

Dia memohon untuk menggunakan dokumen itu bagi menguatkan tindakan undang-undang utamanya - kini di peringkat Mahkamah Tinggi - berhubung dakwaan kegagalan polis untuk melakukan siasatan secara wajar.

Polis sebelum ini bergantung kepada dokumen SOP itu bagi mempertahankan bahawa siasatan mereka sah dan betul.

Pada September tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan penzahiran untuk dokumen SOP tersebut, atas dasar ia akan menjejaskan kepentingan awam mengikut Akta Prosiding KErajaan 1956.

Ketika prosiding dalam talian hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Haz Zanah Mehat memutuskan rayuan yang dibuat Norhayati ada meritnya.

Norhayati Mohd

Katanya, panel hakim - yang turut dianggotai he Mohd Ruzima Ghazali dan See Mee Chun - tidak setuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pendedahan SOP akan menjejaskan kepentingan awam.

Has Zanah juga membangkitkan polis gagal menyediakan pandangan menteri dalam negeri sebagai bukti hujah bahawa kepentingan awam akan terjejas dengan pendedahannya.

"Juga tiada yang menunjukkan dokumen (SOP) diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya.

Dia juga berkata permohonan penzahiran itu bukanlah bersifat umum, tetapi khusus bagi protokol dan SOP siasatan polis terhadap kes kehilangan orang.

"Kami arahkan tindakan (polis untuk serahkan dokumen) dilakukan dalam masa 14 hari (bermula hari ini)," katanya kepada Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamarudin yang mewakili polis.

Pada 3 April 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyimpulkan bahawa Amri adalah mangsa kehilangan paksa,

Amri, yang didakwa merupakan seorang pendakwah dan pengikut Syiah dilaporkan hilang pada petang 24 Nov 2016 di Kangar, Perlis.

Tindakan undang-undang utama Norhayati menamakan 21 pihak sebagai defendan.

Selain polis dan kerajaan Malaysia, antara defendan lain adalah menteri dalam negeri (tidak dinamakan), bekas menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi, bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar dan Mohamad Fuzi Harun serta bekas pesuruhajaya cawangan Khas, Awaludin Jadid.

Saman sivil itu akan didengar selama empat hari bermula 19 Jun tahun depan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS