Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
M'sia undi berkecuali usul bahas situasi umat Islam Uyghur di PBB
Diterbitkan:  Oct 7, 2022 10:01 AM
Dikemaskini: 5:06 AM

GLOBAL | Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) menolak usul untuk membahaskan dakwaan pencabulan hak asasi manusia oleh China terhadap umat Islam Uyghurs di Xinjiang.

Dalam pengundian yang melibatkan 47 negara anggota, Malaysia bersama 11 negara lain mengambil pendirian berkecuali, manakala 19 negara menolak dan 17 negara menyokong.

Ia merupakan kali kedua satu usul ditolak dalam majlis itu, sejak ditubuhkan 16 tahun lalu.

Usul yang dibawa menggesa perbahasan dibuat berkenaan dakwaan pencabulan hak asasi ke atas masyarakat Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah tersebut.

Negara yang menjadi penaja bersama usul itu adalah United Kingdom, Turki, Kanada, Sweden, Denmark, Finland, Iceland, Norway, Australia dan Lithuania.

Menurut AFP, negara yang menolak usul itu adalah Bolivia, Cameroon, China, Cuba, Eritrea, Gabon, Indonesia, Ivory Coast, Kazakhstan, Mauritania, Namibia, Nepal, Pakistan, Qatar, Senegal, Sudan, Emiriah Arab Bersatu, Uzbekistan dan Venezuela.

Negara yang berkecuali adalah Argentina, Armenia, Benin, Brazil, Gambia, India, Libya, Malawi, Malaysia, Mexico dan Ukraine.

Gesaan untuk membahaskan situasi di Xinjiang dibuat susulan terbitnya laporan PBB yang mendakwa "penahanan bersifat diskriminasi dan sewenang-wenangnya" ke masyarakat Uyghur dan umat Islam lain di Xinjiang mungkin boleh dianggap sebagai jenayah kemanusiaan.

Laman Jerman, DW melaporkan banyak negara tidak sanggup untuk mengkritik China ekoran pengaruh ekonominya dan kedudukannya sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Laman The Diplomat pula berkata jika usul itu diluluskan, ia merupakan kali pertama rekod hak asasi manusia China dibincangkan majlis tersebut.

Laman itu turut menyatakan Somalia adalah satu-satunya negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menyokong usul itu.

Usul itu hanya menggesa perbahasan dilakukan, tanpa mekanisme pemantauan konsisten. Ia juga tidak merangkumi gesaan untuk menubuhkan pasukan penyiasat, atau pelantikan seorang pelapor khas.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS