Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bajet 2023 tak akan jejaskan kempen PN - Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin hari ini berkata kempen gabungan itu tidak akan terjejas walaupun BN menggunakan Bajet 2023 untuk memikat hati pengundi.

"Tidak, tidak beri disadvantage.

"Kita nak tengok apa kandungannya.

"Nanti akan komen lepas dengar apa yang terkandung sama ada mencukupi, memadai, memberi tumpuan kepada kumpulan terpilih atau tidak" katanya.

Presiden Bersatu itu berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik parti itu di ibu pejabat PN di Kuala Lumpur.

"Saya akan bahas (Bajet 2023) dalam parlimen.

“Apa pun tidak begitu membimbangkan kita kerana sebelum bajet pun kita dah beri perhatian (kepada rakyat).

"Waktu zaman saya tadbir negara pun kita dah beri tumpuan, belanjawan yang besar, pakej rangsangan yang banyak, bantuan Prihatin yang agak menyeluruh di samping mengurus masalah Covid,” katanya.

Walaupun PN kini berada dalam kerajaan yang diterajui BN, kedua-dua gabungan itu akan bersaing sesama sendiri pada PRU15.

Awal hari ini, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong, mencetuskan spekulasi bahawa seri paduka baginda akan memberi perkenan untuk pembubaran parlimen sebelum pembentangan Bajet 2023 petang esok.

Spekulasi itu timbul selepas Majlis Kerja Tertinggi Umno pada Jumaat lalu memutuskan pilihan raya umum mesti diadakan tahun ini, di tengah-tengah kebimbangan musim tengkujuh melanda negara.

Sumber di Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagaimanapun memberitahu Malaysiakini bahawa tarikh untuk membubarkan parlimen tidak dibincangkan ketika perdana menteri menghadap baginda.

Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin memberitahu Malaysiakini bahawa majlis menghadap hari ini hanyalah taklimat sebelum mesyuarat kabinet.

Setakat ini Kementerian Kewangan turut mengesahkan menterinya, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membentangkan Bajet 2023 di parlimen pada jam 4 petang esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS