Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO gesa Suhakam siasat kematian Khairol Azman ketika dalam tahanan
Diterbitkan:  Oct 6, 2022 10:14 PM
Dikemaskini: 2:14 PM

Aktivis hak asasi manusia menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat kematian Khairol Azman Mohd Shafie ketika dalam tahanan pihak berkuasa penjara.

Ini selepas warisnya mengesyaki perbuatan khianat dalam kematian Khairol yang berusia 52 tahun, yang dikatakan berada dalam keadaan sihat sebelum ditahan dan tidak mempunyai sejarah penyakit atau dimasukkan ke hospital.

“Suaram dan Gerakan Guaman Rakyat (Gegar) memandang serius isu kematian dalam tahanan sama ada berpunca daripada salah guna kuasa, kecuaian atau isu kesihatan.

“Kami berpandangan bahawa kebajikan tahanan adalah tanggungjawab sepenuhnya pihak berkuasa yang menahan, selaras dengan undang-undang domestik dan antarabangsa.

“Kami berharap Suhakam […] menyiasat kematian Khairol Azman Mohd Shafie dalam tahanan,” kata NGO itu dalam satu kenyataan bersama hari ini, selepas bertemu Suhakam untuk menyerahkan memorandum.

Mereka juga meminta suruhanjaya itu menganjurkan dialog antara Peguam Negara Idrus Azizan Harun, menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, dan pihak berkepentingan lain termasuk wakil masyarakat sivil dan NGO hak asasi manusia.

Di samping itu, mereka menggesa Suhakam supaya menggesa kerajaan memperkenalkan Rang Undang-undang Koroner, sama seperti perundangan di Singapura dan UK.

Khairol didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (peras ugut) pada 17 Okt tahun lepas. Dia ditahan di sebuah penjara di Melaka selepas keluarganya gagal membayar jaminan RM3,000.

Dalam kenyataan berasingan, abang Khairol, Kamaruzzaman Mohd Shafie berkata, dia mula dimaklumkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatan adiknya pada 13 April kira-kira 8.50 malam, ketika dihubungi doktor.

Pada masa itu, dia hanya disuruh datang ke Hospital Besar Melaka.

Dia kemudiannya mengetahui bahawa Khairol telah pun meninggal dunia kira-kira 10 minit sebelum panggilan itu. Selain itu, seorang doktor memaklumkan bahawa pihak penjara telah membawa adiknya ke hospital seminggu lebih awal pada 6 April.

“Saya juga bertanya mengapa tiada ahli keluarga adik saya termasuk saya sendiri dimaklumkan bahawa adik saya dimasukkan ke hospital sehingga kini dan doktor serta pegawai penjara di situ hanya berdiam diri,” katanya.

Tambahnya, Hospital Besar Melaka telah menawarkan kerjasama penuh dalam menyiasat kematian itu, tetapi mereka juga tidak tahu apa yang menyebabkan adiknya dibawa ke hospital.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada adik saya. Dia belum berkahwin dan tidak mempunyai sesiapa kecuali saya sebagai abangnya. Saya berasa kecewa dan trauma melihat adik saya begitu,” katanya.

Menurut kenyataan bersama Suaram dan Gegar, bedah siasat mendapati Khairol telah meninggal dunia akibat pendarahan dalaman akibat pecahnya saluran darah utama yang terletak di dalam perut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS