Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Editor digari tapi banduan berprofil tinggi dibiar 'bergerak bebas'
Diterbitkan:  Oct 6, 2022 6:25 PM
Dikemaskini: 11:10 AM

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad menyelar tindakan pihak berkuasa menggari seorang editor semasa didakwa dengan jenayah fitnah sedangkan, katanya, penjenayah berprofil tinggi lain yang disabitkan kesalahan dibenarkan "bergerak bebas".

Walaupun tidak menyebut nama secara spesifik, Mahathir dipercayai merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara.

Najib sebelum ini memohon kebenaran mahkamah untuk menghadiri persidangan parlimen sebagai ahli parlimen Pekan.

Mahathir berkata pendakwaan terhadap bekas ketua pengarang penerbitan The Edge Ahmad Azam Mohd Aris atas tuduhan fitnah menjejaskan usaha mempromosikan kebebasan media.

Ahmad Azam Mohd Aris

“Tindakan sebegitu hanya bertujuan untuk menghakis lagi kebebasan kita dalam penarafan media, yang telah merosot ketara dalam tempoh dua tahun lalu.

“Apa yang lebih memburukkan adalah bahawa seorang editor yang digari menghantar isyarat yang sangat salah kepada negara berkenaan dengan sistem keadilan dan kedaulatan undang-undang kita apabila penjenayah berprofil tinggi lain yang disabitkan kesalahan boleh bergerak dengan bebas, tanpa gari dan juga. dibenarkan menghadiri sidang parlimen.

“Walaupun kedua-dua kes itu berbeza, prinsip keadilan dan kesaksamaan harus digunakan secara sama,” kata Mahathir dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 13 Sept, Ahmad Azam didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas tuduhan memfitnah berhubung dua laporan berita yang disiarkan mengenai lonjakan saham pada 2020.

Seksyen 500 membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Dua laporan berita bertarikh 21 Sept 2020 dan 12 April 2021 itu telah menamakan individu yang didakwa terlibat dalam memanipulasi saham di Bursa Malaysia.

Dalam kenyataannya hari ini, Mahathir berkata dia sangat terganggu dengan pertuduhan ke atas Ahmad Azam.

Najib Razak

"Sekiranya tidak ada kebenaran terhadap apa yang dilaporkan, orang atau syarikat yang merasakan mereka telah dianiaya sepatutnya menyaman editor dan penerbitan itu untuk fitnah," katanya sambil menambah itu adalah norma untuk mengendalikan pertikaian yang melibatkan laporan media.

Mahathir juga menyatakan rasa hairan apabila pejabat pendakwa raya memulakan pertuduhan jenayah terhadap editor itu apabila laporan mendakwa bahawa jenayah telah dilakukan berkaitan dengan saham sen di Bursa Malaysia.

“Dengan logik mana pun, siasatan harus ditujukan kepada orang yang didakwa melakukan jenayah itu.

"Jika tidak, biarkan orang yang dituduh (dalam laporan) mengambil tindakan sivil terhadap penerbitan itu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS