Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM selesai menghadap Agong, tarikh PRU15 masih teka-teki
Diterbitkan:  Oct 6, 2022 5:37 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Persoalan sama ada parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat masih belum terjawab meskipun Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebentar tadi.

Majlis menghadap di Istana Negara itu berlangsung kira-kira sejam.

Ismail Sabri sempat melambai kepada media semasa memasuki perkarangan istana pada kira-kira jam 3.49 petang.

Bagaimanapun, perdana menteri dan rombongan pengiringnya tidak berhenti bercakap kepada wartawan ketika kenderaannya meninggalkan istana kira-kira jam 4.45 petang.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata perkara berkaitan pembubaran parlimen akan dibincangkan semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hanya jika masa mengizinkan.

Anggota media mula berkampung di luar pintu pagar istana seawal jam 7.30 pagi berikutan laporan Ismail akan menemui Baginda petang ini.

Yang di-Pertuan Agong pagi tadi melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN).

Lawatan itu berlangsung ketika Umno terus mendesak agar Ismail membubarkan parlimen dengan segera.

Bagaimanapun, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) menyokong pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan hanya selepas musim tengkujuh, yang biasanya berlangsung dari November hingga Mac.

Dalam lawatan itu, dilaporkan bahawa Agong diberi taklimat mengenai cuaca akhir tahun dan situasi banjir oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS