Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bajet 2023 bentang atau tidak tunggu esok - Ismail Sabri
Diterbitkan:  Oct 6, 2022 4:45 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak menunggu esok (Jumaat) bagi menjawab teka teki sama ada Bajet 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat, ketika cakap-cakap mengenai pembubaran Parlimen semakin kencang.

“Macam-macam spekulasi ada, ada kata bentang, ada kata tak bentang, jadi lebih baik spekulasi itu diteruskan sampai esok, baru tahu jawapannya,” katanya kepada media selepas meninjau persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

“Tunggulah esok, kalau saya sebut bentang hari ini, sudah tiada ‘suspense’ (debaran),” katanya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada pukul 4 petang esok.

Dalam tinjauan hari ini, Ismail Sabri bertemu dengan para petugas Kementerian Kewangan yang terbabit dengan penyediaan Bajet 2023 serta meninjau bilik operasi penyediaan bajet.

Beliau turut berterima kasih kepada petugas Kementerian Kewangan yang bertungkus lumus menyediakan Bajet 2023, dan menurutnya beliau mendapat maklumat kebanyakan mereka sudah tiga minggu tidur di kementerian bagi menyediakan belanjawan berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS