Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi dakwa syarikat lobi kontrak tentera RM854 juta kroni timbalan menteri
Diterbitkan:  Oct 6, 2022 4:19 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa syarikat yang melobi untuk tender rundingan terus kontrak ketenteraan RM854 juta adalah kroni seorang timbalan menteri.

Rafizi berkata semakan terhadap rekod pendaftaran syarikat dan siasatan menunjukkan mereka yang terlibat dalam syarikat itu juga menjalankan perniagaan dengan dua ahli keluarga terdekat timbalan menteri berkenaan.

"Saya akan menunjukkan bukti-bukti pemilikan bersama yang mengesahkan bahawa syarikat itu adalah syarikat kroni berkait dengan timbalan menteri pertahanan esok," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysiakini telah menghubungi timbalan menteri itu dan syarikat terbabit untuk mendapatkan maklum balas.

Kontrak yang dimaksudkan adalah berkaitan perolehan meriam artileri gerak sendiri (SPH) howitzer untuk tentera.

Rafizi pada Selasa lalu membangkitkan semula dakwaan bahawa syarikat itu telah melobi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk tender rundingan terus.

Ini didakwa menyebabkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menolak permintaan Kementerian Pertahanan supaya kontrak itu diberikan melalui tender terhad.

Sebaliknya, Zafrul didakwa telah mengarahkan supaya kontrak itu diberikan melalui tender terus kepada syarikat itu.

Berikutan itu, Kementerian Pertahanan didakwa telah menghantar surat niat kepada syarikat itu meminta syarikat itu mengemukakan tawaran tender selewat-lewatnya pada 15 Ogos.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein semalam berkata tender itu masih dirundingkan dengan Kementerian Kewangan dan tiada kontrak diberikan setakat ini.

Dia juga menegaskan bahawa Angkatan Tentera harus memutuskan apa yang mereka perlukan, dan tugasnya sebagai menteri adalah untuk memenuhi permintaan itu.

Rafizi memetik jawapan Hishammuddin sebagai "bukti" bahawa dakwaannya itu benar.

Rafizi juga percaya Hishammuddin menyedari penglibatan timbalan menteri berkenaan dalam syarikat yang melobi kontrak itu.

Justeru, Rafizi berkata sekiranya Hishammuddin benar-benar mengambil berat tentang pertahanan negara, dia harus membatalkan surat niat yang dihantar kepada syarikat itu.

Semakan Malaysiakini mendapati syarikat itu menjalin kerjasama dengan tiga syarikat pertahanan dari Turkiye.

Howitzer yang didakwa dicadangkan untuk perolehan oleh syarikat adalah reka bentuk Turki.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS