Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Negara tak boleh terus buat hutang baru untuk bayar hutang lama'

Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid memberi amaran bahawa meminjam wang untuk pembayaran balik baki prinsipal pinjaman matang hanya boleh menjadi langkah jangka pendek dan sementara.

Sebaliknya, katanya, Malaysia perlu mencari penyelesaian jangka panjang kepada masalah itu.

"Memang pinjaman selalu dibuat untuk pembiayaan terutama perbelanjaan pembangunan.

"Cuma sekarang ini, pada tahun ini dan tahun lepas berlaku Covid-19, di man asebahagian pinjaman digunakan untuk membiayai kegiatan untuk menangani wabak dan menjana ekonomi untuk bantu syarikat terjejas," kata Nik Azman dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Ditanya apakah nasihat Jabatan Audit Negara (JAN) kepada kerajaan, dia berkata peminjaman wang tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang.

"Itu kita faham, cuma kita bimbang kenaikan hutang sekarang ini tidak boleh berterusan.

"Maknanya ini sepatutnya hanya untuk jangka pendek. Kerajaan patut ambil tindakan pembetulan supaya hutang ini dapat dikawal.

"Seperti yang disebut (Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, PAC) Wong Kah Woh tadi, akibat daripada peningkatan hutang, bayaran faedah hutang sudah bertambah," katanya.

Katanya lagi, bagi setiap seringgit hasil yang dijana negara, 16 sen digunakan untuk membayar faedah hutang.

"Jika separuh daripada hutang baru digunakan untuk bayar hutang lama, keadaan ini tak boleh dibiarkan berterusan walaupun kita faham ini sepatutnya (hanya) tindakan sementara," katanya lagi.

Hasil negara

Terdahulu, Wong dalam kenyataan berkata PAC bimbang apabila kadar peratusan tinggi hasil negara digunakan untuk pembiayaan hutang.

"Daripada RM62.317 bilion yang dipinda ke Kumpulan Wang Pembangunan, hanya RM40.994 bilion (65.8 peratus) digunakan untuk tujuan perbelanjaan pembangunan, berbanding RM37.530 bilion (77.3 peratus) pada 2020.

Wong Kah Woh dan Nik Azman

"Manakala sejumlah RM12.612 bilion (20.2 peratus) digunakan untuk tujuan menanggung liabiliti PFI (inisiatif pembiayaan swasta) dan komitmen jaminan, dan RM8.711 bilion (14 peratus) digunakan untuk tujuan pengelasan belanja mengurus untuk pembangunan," katanya.

Wong berkata untuk 2021, 52.4 peratus daripada pinjaman kasar digunakan untuk menyelesaikan prinsipal pinjaman matang dan pada tahun itu juga, peratusan perbelanjaan pembangunan berkurang berbanding tahun sebelumnya.

"PAC terus komited memainkan peranan semak dan imbang terhadap cabang Eksekutif dalam pengurusan kewangan dan perolehan bagi memastikan ia mematuhi prosedur serta tatacara yang ditetapkan," katnaya lagi.

Laporan Audit Negara yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini antara lain mendedahkan sebanyak RM1.7 bilion digunakan untuk melunaskan faedah pinjaman 1MDB pada tahun lalu, termasuk lebih RM400 juta daripada peruntukan pembangunan.

Ini menurut Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2021.

“Pelunasan faedah pinjaman syarikat yang berjumlah RM1.7 bilion pada tahun 2021 adalah menggunakan peruntukan pembangunan berjumlah RM0.459 bilion dan Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AAMKA) berjumlah RM1.241 bilion.

“Baki AAMKA pada 31 Disember 2021 adalah berjumlah RM15.281 bilion,” kata laporan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS