Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pandang serius Isu kualiti jalan raya meski kajian penarafan tak tepat'

Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) mengingatkan kerajaan agar tidak mengambil mudah isu kualiti jalan raya negara meskipun Kementerian Kerja Raya (KKR) menafikan artikel ‘Malaysia ke-12 Terbawah Miliki Jalan Raya Terburuk’ sebagai tidak tepat.

Menurut presidennya, Mohammad Hisham Shafie, artikel itu sememangnya terlihat tidak menyeluruh terhadap seluruh jalan raya di Malaysia, iaitu kelihatan lebih kepada jalan-jalan tertentu.

Namun, katanya, isu itu tetap perlu diambil serius oleh pihak berwajib.

“Jadi agensi yang terlibat macam Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu memandang serius dengan kajian yang dibuat. Walaupun hal itu tidak 100 peratus berasas tapi mungkin ada benarnya juga sebab masih ada juga kemalangan yang berlaku disebabkan kerosakan jalan raya.

“Tak mustahil kajian itu 100 peratus tak benar dan 100 peratus benar tetapi pihak bertanggungjawab perlu memandang serius dari kaji selidik itu sendiri,” ujarnya.

Mohammad Hisham juga menyarankan agar pihak yang menjalankan pembinaan melibatkan jalan raya tertentu perlu dipertanggungjawabkan untuk memastikan jalan raya yang rosak diturap semula dengan sempurna.

“Sepatutnya orang-orang dari syarikat konsesi yang membuat pembinaan ini, yang melakukan pembinaan di jalan raya perlu dipertanggungjawab supaya mereka dapat membuat semula jalan raya itu dengan begitu sempurna semula seperti asal.

“Kita tak mahu bila mereka turap balik, sudah jadi tidak berapa sempurna,.” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Hisham berkata kajian berhubung kualiti jalan raya negara seharusnya datang dari pengguna jalan raya di Malaysia sendiri dan bukan dari agensi luar.

“Sebab kita sebagai penguna jadi kita layak nilai, komen sama ada jalan raya kita sempurna atau tidak.

“Malah pihak berkuasa tempatan, JKR dan KKR perlu sediakan platform bagi pengguna untuk buat aduan supaya tindakan cepat dapat diambil,” katanya.

Dia juga turut mempersoalkan data kajian tersebut apabila hanya melibatkan 59 daripada 193 buah negara sahaja yang diambil kira.

“Bagi saya ini bukan keseluruhan kaji selidik oleh agensi tersebut.

“Jadi tak berapa tepat dengan penilaian yang dibuat sebab satu dunia ada banyak, dan dia cuma kaji 59.

“Jadi tak adil untuk diiktirafkan malaysia jalan raya terburuk ke 12,” katanya.

KKR sebelum ini menyifatkan artikel sebuah akhbar tempatan yang bertajuk “Malaysia ke-12 Terbawah Miliki Jalan Raya Terburuk” sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

Jelas KKR, ini kerana artikel itu menggunakan laporan Worst and Best Roads - US and International Ranking yang dijalankan oleh firma pendidikan pemandu Zutobi dan memberikan persepsi yang kurang baik terhadap kualiti keseluruhan jalan raya di Malaysia.

Kata KKR, laporan berkenaan hanya mengambil kira empat faktor iaitu kualiti jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya, kematian jalan raya dan saiz relatif rangkaian jalan raya, selain hanya mengambil kira data untuk 59 negara sahaja, bukan semua negara di dunia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS