Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PDRM pilih notis merah Interpol berbanding tawarkan ganjaran
Diterbitkan:  Oct 5, 2022 12:19 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

PARLIMEN | Notis merah (red notice) Interpol kekal sebagai pilihan pihak polis negara ini dalam usaha mereka untuk menjejak ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata kerajaan berpendapat ia merupakan kaedah yang lebih baik berbanding tawaran ganjaran kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat kepada ahli perniagaan berkenaan.

“Berkaitan isu tawaran ganjaran kepada pihak yang mempunyai maklumat terkini mengenai Jho Low dan sekutunya, Polis Diraja Malaysia berpandangan buat masa ini, kaedah melalui red notice yang dikeluarkan Interpol adalah lebih baik kerana menggunakan elemen kerjasama dan maklumat perisikan yang lebih tepat.

“Kaedah ini memerlukan mana-mana 195 negara anggota yang mempunyai maklumat berkaitan Jho Low bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada Malaysia bagi membolehkan tindakan ekstradisi dibuat,” kata Hamzah.

Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian sebagai menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong).

Lim bertanya jika kerajaan mempunyai rancangan memberikan inisiatif berupa ganjaran bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai keberadaan Jho Low.

Maklumat akan disiasat

Untuk rekod pada Julai lalu Lim mengumumkan ada pihak yang enggan dikenali menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sesiapa yang boleh memberikan maklumat mengenai buruan berkenaan.

Lim juga bertanya sama ada pihak berkuasa negara ini memanggil dua wartawan yang bertanggungjawab membongkar skandal 1MDB dan pembabitan Jho Low untuk disoal siasat.

Wartawan terbabit ialah Tom Wright dan Bradley Hope yang ketika itu bertugas untuk The Wall Street Journal.

Bagaimanapun Hamzah tidak menjawab soalan kedua Lim dalam jawapan bertulis berkenaan.

Sejak Najib Razak dipenjarakan pada akhir Ogos lalu, Wright dan Hope melancarkan kempen untuk mendedahkan lebih lanjut maklumat mengenai keberadaan Jho Low.

Antara lain, mereka berkongsi bukti bahawa Jho Low dan keluarganya mungkin sedang bersembunyi di China.

Dalam jawapan bertulis lain, Hamzah memberitahu sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai lokasi Jho Low berada, mereka boleh menghubungi talian polis, 013-211 1222, untuk menyalurkan maklumat tersebut.

Ia merupakan talian yang menggunakan aplikasi WhatsApp.

Menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong), Hamzah menjelaskan orang ramai juga boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat tersebut.

“Setiap maklumat yang diterima akan diteliti kesahihannya dan akan disalurkan kepada Interpol bagi mendapatkan pengesahan lanjut dari negara ahli yang terlibat,” katanya.

Sejak menghilangkan diri pada 2018, Jho Low bukan saja dicari oleh polis Malaysia, malah turut dikehendaki pihak berkuasa AS dan Singapura atas pembabitannya dalam skandal 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS