Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno mahu PRU15 segera demi jaga kebajikan rakyat - Zahid
Diterbitkan:  Oct 5, 2022 11:53 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menempelak Dr Mahathir Mohamad yang membidas parti itu kerana mendesak pilihan raya awal walaupun amaran musim banjir.

Sambil menafikan dakwaan bahawa Umno hanya berminat untuk berkuasa, Zahid berkata tujuan mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) segera adalah untuk menyediakan kerajaan yang stabil dan kukuh demi kepentingan rakyat.

“Tun (Dr Mahathir) mendakwa ramai akan cedera dan mati jika PRU15 diadakan sekarang walhal tiada siapa dapat meramalkan dengan tepat adakah banjir besar akan berlaku atau tidak.

“Usah memperlekehkan kewibaan pasukan keselamatan kita, malah Jabatan Meteorologi Malaysia menerangkan istilah hujan purata yang diramal berlaku tidak semestinya menyebabkan banjir besar.

Gambar Hiasan

“Bagaimanapun itulah jua pentingnya PRU15 diadakan sekarang untuk menyediakan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh bagi menjaga kebajikan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sambil membidas Mahathir yang mendakwa bahawa Umno tidak mempedulikan nasib rakyat dan hanya mahu jadi perdana menteri, Zahid menafikannya dan berkata Umno juga pernah membuktikan sebaliknya.

“Umno berlapang dada menyokong Presiden Bersatu (Muhyiddin Yassin) jadi Perdana Menteri ke-8 tanpa sebarang syarat seperti dilakukan presiden Bersatu terhadap Perdana Menteri ke-9.

“Keputusan itu dibuat semata-mata demi kelangsungan pentadbiran kerajaan ketika itu yang amat penting kepada rakyat dan negara.

“Individu yang diketahui berulang kali mencerminkan kemahuan diri untuk terus menjadi perdana menteri ketika ini adalah Pengerusi GTA (Dr Mahathir), Pengerusi PH (Anwar Ibrahim) dan Pengerusi PN (Muhyiddin),” katanya.

Zahid seterusnya menyangkal kenyataan Dr Mahathir yang juga pengerusi Pejuang bahawa kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan menang PRU14 kerana BN merampas kuasa.

Katanya, Mahathir terlupa bahawa kerajaan PH tumbang selepas dia meletakkan jawatan perdana menteri berikutan perebutan kuasa yang terjadi dalam PH.

“Kisah perebutan kuasa yang berlaku dalam kerajaan PH ketika itu bukan suatu rahsia lagi. Seluruh rakyat telah mengetahui apa yang berlaku.

“Mahathir didesak oleh sekutunya untuk menunaikan janji menyerahkan jawatan perdana menteri kepada presiden PKR selepas tempoh dua tahun.

“Mahathir sebaliknya bertindak meletakkan jawatan dan mencadangkan pembentukan sebuah kerajaan baharu mengikut kehendaknya,” kata Zahid.

Bagaimnapun menurut presiden Umno itu, cadangan Mahathir ditolak oleh ramai pihak kerana berbaur diktator dan autokrat.

Susulan itu, Zahid berkata bekas perdana menteri itu sepatutnya berterima kasih kerana Umno dan BN telah menyelamatkan kelangsungan pentadbiran negara yang kucar kacir akibat percaturan politiknya dan PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS