Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akta antilompat parti berkuat kuasa esok
Diterbitkan:  Oct 4, 2022 4:47 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

Akta yang melarang ahli parlimen melompat parti akan mula berkuat kuasa mulai 5 Okt, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya perkara itu diputuskan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kata Wan Junaidi, kerajaan komited mahu memastikan undang-undang melarangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti dapat melindungi hak rakyat.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan tarikh kuat kuasa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 pada 5 Okt 2022 selaras dengan seksyen 1(2) dan seksyen 1(3) Akta A1663”, katanya.

Pelaksanaan akta tersebut merupakan antara ketetapan dicapai Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob yang dimeterai melalui memorandum persefahaman yang ditandatangani pada 14 Sept tahun lalu.

Untuk menjadikan ia realiti, perlembagaan perlu dipinda dan mesti mendapat sokongan sekurang-kurangnya dua per tiga daripada anggota Dewan Rakyat.

Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 atau juga dikenali sebagai Akta A1663 kemudian diluluskan dengan sokongan 209 ahli Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu.

Tiada mana-mana ahli Dewan Rakyat menolak usul tersebut, manakala 11 orang tidak hadir semasa undian dijalankan.

Ia kemudian diluluskan 52 orang senator Dewan Negara pada 9 Ogos.

Dengan pindaan tersebut, seseorang ahli parlimen akan kehilangan kerusinya jika mereka bertindak keluar parti atau tidak lagi menjadi ahli parti yang diwakilinya.

Namun, ahli parlimen yang dibuang parti tidak akan kehilangan kerusi tersebut.

Ahli parlimen juga tidak akan hilang kerusi jika parti mereka dibubarkan atau bergabung dengan parti lain, atau jika mereka keluar parti untuk menjadi speaker Dewan Rakyat.

Bagi ahli parlimen yang menang dengan tiket bebas pula, mereka boleh hilang kerusi jika menyertai sesebuah parti atau menjadi anggota gabungan.

Menurut Wan Junaidi dengan penetapan tarikh berkuatkuasanya akta tersebut, maka pindaan Seksyen 7A Jadual Kelapan, Fasal 6 Perkara 48, Perkara 160 dan fasal baru 3A Perkara 10 serta Perkara baru 49A dapat dikuatkuasakan dengan segera.

"Ini seterusnya membenarkan pemakaian Akta A1663 ini di peringkat negeri yang tertakluk perkenan sultan atau tuan yang terutama atau raja di negeri berkenaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS