Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiada parti boleh pengaruhi keputusan PM cadang bubar parlimen'

Tiada mana-mana parti boleh mempengaruhi keputusan perdana menteri membubarkan parlimen, kata Ismail Sabri Yaakob.

“Dulu PM umum, bubarlah parlimen. Mana ada parti-parti politik lain beri pandangan, campur tangan dari segi pembubaran.

“Dengan parti sendiri pun tak ada dulu,” katanya ketika ditanya berkaitan gesaan DAP dan PAS untuk tidak membubarkan parlimen buat masa ini.

Bercakap kepada pemberita di program belia di UiTM, Shah Alam, Ismail menegaskan bahawa kuasa mencadangkan pembubaran parlimen adalah kuasa perdana menteri.

Ia kemudiannya, kata Ismail, akan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi, keputusaan untuk pembubaran ini tak ada kena mengena dengan parti-parti politik yang lain, katanya.

Ismail bagaimanapun berkata dia akan melihat semua pandangan sebelum mencadangkan pembubaran kepada Seri Paduka.

Dia juga masih belum memberikan gambaran jelas bila pilihan raya akan diadakan, walaupun muncul spekulasi terbaru parlimen akan dibubarkan Khamis atau Jumaat ini.

‘Saya menghadap Agong tiap-tiap minggu’

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu bahawa mengadap Seri Paduka merupakan rutin biasa seorang perdana menteri.

"Mengadap Agong? Saya mengadap setiap minggu sebelum mesyuarat kabinet. 

“Iaitu, macam minggu ini kalau waktu parlimen, kabinet hari Jumaat, hari Khamis saya jumpa.

"Kalau hari Rabu mesyuarat kabinet, hari Selasa saya jumpa. 

“Perjumpaan dengan Seri Paduka lebih kepada kertas mesyuarat kabinet," katanya ketika ditanya mengenai perjumpaannya dengan Seri Paduka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS