Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tokoh PH jangka parlimen bubar sebelum bajet Jumaat ini
  • Dikemas kini dengan tambahan kenyataan Lim Kit Siang dan Mahfuz.

Tokoh-tokoh Pakatan Harapan (PH) menjangkakan pilihan raya akan dibubarkan minggu ini, sebelum kerajaan membentangkan belanjawan 2023.

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar menjangkakan parlimen dibubarkan pada Jumaat dan pengumuman akan dibuat sehari sebelumnya.

Ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang pula menjangkakan parlimen dibubarkan pada Khamis, sehari sebelum pembentangan belanjawan.

“Kesian kat YAB PM (yang amat berhormat perdana menteri). 

Mahfuz Omar

“Demi nak jaga hati kawan-kawan perompak Jumaat ini dah nak kena bubar juga parlimen,” kata Mahfuz.

Setakat semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilapor berada di luar negara dan tiada pertemuan dijadualkan untuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menghadap baginda.

Ismail Sabri terus ditekan partinya Umno untuk membubarkan parlimen, tindakan yang berpotensi menjadikannya sebagai perdana menteri paling singkat.

Menulis di media sosial, Mahfuz kelihatan pasrah dengan langkah itu, walaupun Pakatan Harapan (PH) berpendirian pilihan raya tidak wajar diadakan ketika musim banjir.

Banjir di Klang bulan lalu, gambar hiasan

“Tak apalah YAB, bubar pun bubarlah, asal ada ketentuan. 

“Duk dingdong dingdong pasal PRU15  ini menyusahkan rakyat saja. 

“Selamat membubar,” sindirnya.

Ketika dihubungi, Mahfuz memberitahu Malaysiakini, kemungkinan pengumuman tersebut akan dimaklumkan dalam perjumpaan khas Umno di PWTC petang ini. 

“Paling lewat hari Khamis dia (Ismail Sabri) akan umum untuk pembubaran yang berkuat kuasa pada hari Jumaat,” katanya. 

Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, jika belanjawan dibentangkan dahulu, pembubaran parlimen tidak dapat dibuat kerana memerlukan masa untuk dia dibahaskan.

“Jadi saya fikir, dia juga nak mengelak daripada… kalau bentang bajet dulu, kena mengambil masa dua minggu untuk memberi laluan kepada perbahasan (bajet) sebelum dibubar.  

“Jadi dia bubar sebelum hari Jumaat,” katanya.

Sementara itu, Mahfuz melihat, jika parlimen benar dibubarkan dalam masa terdekat, ia akan membazirkan masa sidang parlimen yang sedang membincangkan beberapa rang undang-undang (RUU) yang penting. 

“Ini akan menunjukkan yang kerajaan tak sensitif. 

“Sepatutnya, sebelum sidang parlimen ini dah bubar. Kenapa perlu panggil sidang parlimen dulu, tiba-tiba kita bubar?” katanya. 

PRU 5 November?

Sementara itu, Lim yang juga anggota parlimen Iskandar Puteri berkata dia hari ini menerima mesej yang berbunyi:

“Sumber terkini: 6 Oktober parlimen dibubarkan; 5 November PRU.”

Lim Kit Siang

Senada dengan mahfuz, Lim berkata, tindakan itu jika benar dilakukan, seperti penghinaan kepada parlimen yang sedang membincangkan beberapa RUU.

“Seorang perdana menteri yang bertanggungjawab tidak patut dengan sengaja menghina parlimen dengan membuat Dewan Rakyat membahas dan meluluskan RUU yang tidak menjadi undang-undang akibat pembubaran Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Umno akan mengadakan perjumpaan khas ketua-ketua bahagian, termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri, di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pada dua petang ini.

Pertemuan dengan Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Ismail Sabri itu dikatakan perhimpunan terbesar dan terakhir Umno sebelum parlimen dibubarkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS