Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia selamatkan 261 mangsa sindiket tipu kerja dalam 6 bulan - menteri

PARLIMEN | "Paling banyak Kemboja dengan 139 sudah pulang dan 56 dalam proses penghantaran pulang," kata Saifuddin Abdullah.

Wisma Putra telah menyelamatkan 261 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja, Laos, Thailand dan Myanmar antara April hingga September tahun ini.

Daripada jumlah itu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata 171 individu telah pulang ke Malaysia manakala baki 90 lagi sedang menunggu pelepasan.

"Dalam empat negara, paling banyak Kemboja dengan 139 sudah pulang dan 56 dalam proses penghantaran pulang," kata Saifuddin pada sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dia menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) yang meminta kerajaan menyatakan tindakan yang diambil bagi membantu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di negara berkenaan.

“Malaysia melalui pegawai diplomatiknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa di negara-negara berkenaan untuk mencari dan menyelamatkan semua mangsa yang masih di bawah kawalan sindiket pekerjaan.

“Tindakan yang diambil termasuk mendapatkan kerjasama dan bantuan daripada pihak berkuasa tempatan, serta memberikan bantuan konsular untuk membawa pulang pekerja (yang diselamatkan itu),” katanya.

Mohd Fasiah dalam soalan tambahan telah memetik lebih 3,000 rakyat Malaysia masih terperangkap didakwa kerana penipuan pekerjaan tetapi Saifuddin menegaskan selain daripada 261 orang yang telah dibebaskan, cuma tinggal 88 orang lagi yang telah dikenal pasti untuk diselamatkan.

Menurutnya, terdapat pelbagai cara bagaimana rakyat Malaysia akhirnya terperangkap di luar negara, termasuk mereka yang pada awalnya pergi bercuti tetapi kemudiannya diumpan untuk bekerja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS