Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Apa rancangan kecemasan SPR jika hari mengundi banjir?
Diterbitkan:  Oct 4, 2022 11:36 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Susulan keputusan Umno bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 mesti diadakan tahun ini, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago hari ini menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta penjelasan mengenai rancangannya jika hari pengundian berlaku semasa banjir.

Dalam surat itu, Charles menyatakan kebimbangannya mengenai tempoh pilihan raya yang bertepatan dengan musim tengkujuh dan amaran pihak berkuasa tentang risiko banjir terutama di kawasan rendah di pantai barat semenanjung.

Ahli parlimen itu berkata kawasannya antara kawasan yang dilanda banjir teruk pada musim tengkujuh tahun lalu, dan mereka menganggarkan lebih 107,000 pengundi akan terjejas jika hari pengundian berlaku semasa bencana.

"Pada tahun lepas, 28 daripada 56 daerah mengundi di kawasan Parlimen Klang telah menghadapi banjir teruk," katanya.

Charles berkata SPR perlu menjelaskan rancangan kecemasan yang ada sekiranya PRU15 diadakan semasa banjir.

Dia turut menyenaraikan beberapa pertanyaan untuk dijawab SPR berhubung perkara itu, termasuk apa yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa untuk membantu pengundi yang tidak dapat keluar mengundi akibat cuaca buruk.

"Memadangkan kebanyakan sekolah yang ditetapkan sebagai pusat mengundi juga ditetapkan sebagai pusat pemindahan sementara, apakah yang akan berlaku sekiranya sekolah itu perlu digunakan sebagai PPS semasa ia digunakan sebagai pusat mengundi?

"Apakah pelan rancangan SPR sekiranya pusat mengundi dinaiki air?

"Adakah para pengundi akan dilencongkan ke pusat mengundi yang lain?

"Bagaimanakah peti undi akan diangkut sekiranya jalan raya ditutup?

"Bagaimanakah pihak SPR akan memastikan kotak-kotak tersebut kekal selamat dan tidak diusik sekiranya kenderaan pengangkutan itu terbengkalai akibat banjir," katanya.

Charles juga bertanya jika SPR mempunyai rancangan untuk menangani isu penggemblengan ejen pengundian dan pengiraan undi, atau Paca, yang sepatutnya mewakili calon pilihan raya di setiap pusat mengundi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS