Seorang pakar perubahan iklim mencadangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan selepas Feb tahun hadapan dengan memberi amaran bahawa keadaan banjir semasa musim tengkujuh akhir tahun ini dijangka lebih buruk berbanding tahun lalu.
Haliza Abdul Rahman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) memberitahu Malaysiakini bahawa berdasarkan trend tahun-tahun sebelum ini, banjir dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak antara November dan Januari ini.
"Sama ada kita sekarang ada teknologi atau tidak, betapa seriusnya keadaan ini tidak dapat diramalkan dengan mudah. Bagaimanapun, dengan kesan buruk perubahan iklim di seluruh dunia, keadaan mungkin menjadi lebih teruk tahun ini.
"Kenyataan ini selaras dengan ramalan Jabatan Meteorologi bahawa hujan lebat akan berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang dari November hingga Disember 2022 manakala Johor, Sabah dan Sarawak dari Dis 2022 hingga Jan 2023," katanya dalam temubual melalui e-mel kepada Malaysiakini.
Haliza diminta mengulas apakah wajar kerajaan membubarkan parlimen dan PRU15 diadakan dalam tempoh sehingga Dis ini, memandangkan musim tengkujuh dijangka bakal menyaksikan banjir besar di beberapa negeri dalam beberapa minggu akan datang.
Ia susulan beberapa ahli politik, terutamanya daripada Umno, mendesak Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 secepat mungkin.
Malah, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu bersedia walaupun mereka terpaksa mengharungi banjir untuk berkempen.
Ditanya bilakah tempoh sesuai mengadakan PRU15, Haliza mencadangkan ia diadakan selepas Feb tahun hadapan.
Untuk rekod parlimen akan terbubar secara automatik pada 16 Julai tahun hadapan, lima tahun dari tarikh ia mula bersidang selepas PRU14. Selepas itu tempoh 60 hari ditetapkan untuk mengadakan pilihan raya.
"Bulan ‘selamat’ sepatutnya tahun depan, mulai Feb 2023 dan seterusnya. Nasihat saya jangan ada pilihan raya umum tahun ini, terutamanya pada bulan Nov dan Dis,” katanya.
Pemanasan global
Haliza berkata Malaysia tidak terlepas daripada kesan perubahan iklim global, mengakibatkan risiko banjir lebih besar kerana fenomena "La Nina" yang menyebabkan taburan hujan "melebihi normal" walaupun di luar musim monsun tahunan.
“Hujan tahunan di Malaysia meningkat daripada julat 670mm kepada 3,673.2mm pada 2019 kepada julat 1,691.8mm hingga 5,320.8mm pada 2020, berdasarkan Kompendium Perangkaan Alam Sekitar 2021.
"Oleh itu, kemungkinan perubahan iklim meningkatkan risiko Malaysia menghadapi banjir lebih teruk tahun ini berbanding tahun lepas," kata Haliza.
Dia turut memetik dua ramalan berbeza mengenai tahap La Nina - di mana Jabatan Meteorologi Malaysi meramalkan kemungkinan 60 peratus hujan lebat berterusan sehingga Dis, manakala Jabatan Meteorologi Dunia (WMO) menyebut kemungkinan lebih tinggi.
Di luar Malaysia katanya, ramalan hujan lebat yang dikaitkan dengan La Nina juga dijangka berlaku di kawasan pantai di seluruh Asia Tenggara dan Australia.
Katanya, selain hujan lebat, terdapat juga aspek penting lain yang perlu diambil kira semasa menilai risiko banjir.
Jelasnya faktor hujan semata-mata tidak semestinya menjadi punca berlaku banjir.
"Para saintis telah lama berteori bahawa perubahan iklim dikaitkan dengan perubahan yang meluas dalam corak cuaca. Oleh itu, pemanasan global akibat peningkatan suhu global juga menyebabkan banjir pada tahun-tahun sekitarnya," jelasnya.
Pakar itu menambah bahawa faktor lain termasuk siklon tropika dan letusan awan.
"Siklon tropika boleh menghasilkan jumlah hujan yang banyak, menyebabkan banjir dan banjir kilat sebaik sahaja ribut sampai ke daratan. Ia juga boleh menyebabkan ombak deras ke pantai dalam peristiwa yang dipanggil gelombang ribut, yang membanjiri kawasan rendah.
"Letusan awan berlaku disebabkan hujan lebat dalam tempoh yang singkat yang kadangkala boleh disertai dengan hujan batu dan ribut dan boleh menyebabkan banjir.
Kejadian semula jadi ini berlaku di lereng gunung, dan air mengalir ke dataran, menyebabkan banjir," katanya lagi.
Parti politik selain daripada komponen BN sebahagian besarnya menolak PRU15 diadakan pada tahun ini.
Majlis kerja tertinggi (MKT) Umno pada Jumaat lalu memutuskan supaya parlimen dibubarkan tidak lama lagi dan Ismail Sabri akan mengemukakan tarikh cadangan pembubaran parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.