Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelanggan dobi terkejut jumpa ular sawa dalam mesin basuh
Diterbitkan:  Oct 2, 2022 6:57 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Seorang pelanggan yang berhasrat untuk membasuh pakaian di pusat dobi layan diri di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, di Johor Bahru, semalam, terkejut apabila menemukan seekor ular sawa di dalam mesin basuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I, Suhaimi Mohd Jamal, berkata seramai tiga anggota dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada pemilik dobi itu pada jam 9.41 pagi.

“Pelanggan yang menjumpai ular ketika ingin membasuh baju itu terus memaklumkan kepada pemilik kedai dobi tersebut dan pemilik menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

“Ular sawa tersebut adalah berukuran 1.8 meter (6 kaki) dan seberat 20 kilogram, berada di dalam salah satu mesin basuh dobi itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata ular itu, yang tidak bertindak agresif, ditangkap dalam masa lima minit dengan menggunakan penjerut dan telah dilepaskan di kawasan yang jauh dari penempatan orang awam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS