Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelewatan LCS jejas perancangan TLDM - Panglima tentera laut
Diterbitkan:  Oct 2, 2022 6:45 PM
Dikemaskini: Oct 3, 2022 7:32 AM

Panglima Tentera Laut Laksamana Mohd Reza Mohd Sany menyuarakan kerisauannya mengenai aset Angkatan Tentera Malaysia terutamanya TLDM yang usang, dengan bajet selenggaraan aset sedia ada sentiasa terhad bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Bernama melaporkan Mohd Reza berkata, TLDM sebelum ini pernah memiliki 16 buah kapal perang pelbagai saiz, namun bilangan ini berkurangan dengan signifikan, apabila majoriti kapal itu hilang keupayaan kombatan akibat faktor keusangan peralatan dan sistem persenjataan.

“Penggantian kepada kapal-kapal ini dirancang melalui perolehan kapal tempur pesisir (LCS), namun kelewatan projek LCS ini telah menjejaskan perancangan TLDM...

"Keperluan perolehan kapal-kapal kombatan (perang) tambahan perlu turut diberi perhatian serius oleh kerajaan,” katanya pada Wawancara Khas bersama media sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Paskal Ke-40.

Menurut Mohd Reza walaupun berdepan dengan cabaran dan ancaman itu, TLDM tetap fokus dengan misinya mempertahankan kedaulatan dan melindungi kepentingan maritim negara.

Katanya lagi, pertahanan negara perlu dikukuhkan bagi menghadapi situasi keselamatan dunia yang dinamik dan sentiasa berubah, dalam masa singkat serta sukar diramal seperti berlaku di beberapa negara luar baru-baru ini.

Situasi tersebut, jelasnya dikenali sebagai VUCA (pergolakan, ketidakpastian, kompleks, kekaburan/kesamaran).

“Seperti kita semua tahu, sempadan maritim negara berhadapan dengan isu tuntutan bertindih, pencerobohan perairan oleh kapal atau bot asing, serta kegiatan pelanunan dan rompakan di laut.

Gambar fail, demonstrasi Paskal.

“Aktiviti itu boleh mengganggu gugat aktiviti ekonomi maritim sekali gus menjejaskan keamanan perairan maritim negara, dan menuntut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberi tindak balas sewajarnya bagi mengatasi ancaman tersebut,” katanya.

Mohd Reza berkata sektor pertahanan adalah ‘insurans’ dan kerajaan harus melakukan pelaburan pertahanan supaya apabila berlaku perkara yang tidak diingini, negara mampu bertahan daripada ancaman dan impak kepada risiko keselamatan negara dan rakyat adalah minimum.


BACA BERKAITAN:

Hisham yakin mobilisasi projek LCS dijangka selesai hujung tahun ini

Tentera dan Mindef beri tarikh bercanggah penghantaran LCS

'Projek LCS tak lagi ditangguh walau 2 kontraktor ditamatkan kontrak'


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS