Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 2035 mengundang kritikan penduduk di kawasan itu yang bimbang ia mungkin menyebabkan banjir kilat dan menjejaskan kawasan hutan di sekitarnya.
Diwartakan pada 2011, rancangan tempatan 2020 akan digantikan dengan rancangan tersebut tak lama lagi. Ia sudah dipinda sebanyak dua kali, iaitu pada 2013 dan 2016.
Draf Rancangan Tempatan 2035 merangkumi 91 candangan perlingkungan semula status tanah dan meningkatkan kepadatan kawasan. Ia cuga membawa cadangan sebuah lebuh raya baru dan jajaran MRT3.
Menurat draf rancangan itu, tujuh stesen MRT3 dicadangkan untuk dibina di Ampang Jaya, Selangor, yang terletak di timur Kuala Lumpur.
Bercakap dengan Malaysiakini, wakil AJ Rimba Collective membangkitkan kebimbangan kesihatan dan risiko kemusnahan alam sekitar ekoran projek yang memberi kesan kepada kawasan hutan di situ.
Ia termasuk cadangan projek krematorium di Jalan Kolam Lama, Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL Node), MRT3 dan dakwaan pembangunan semula Kelab Darul Ehsan (KDE) di Taman Tun Abdul Razak.
Bantahan disuarakan dalam ketika sesi pendengaran awam pada 20 dan 22 September lalu, antara lain berkenaan kekeliruan berhubung pewartaan penggunaan tanah di kawasan tertentu.
Antaranya berkenaan KDE - milik Berjaya Land Bhd - yang didakwa akan dijadikan kawasan kediaman.
Dokumen yang dilihat Malaysiakini menunjukkan cadangan pembangunan semula itu untuk membahagikan kelab golf itu kepada pelbagai kawasan pembangunan.
Ia termasuk pembinaan 243 unit banglo, 50 unit rumah teres serta rumah kelab "mini".
Dalam senarai bantahan ketika pendengaran awam, draf rancangan itu didakwa menunjukkan padang golf berkeluasan 65 ekar itu diwartakan untuk penggunaan komersial.
Langkah untuk menukarkan penggunaan tanah daripada rekreasi kepada kediaman memerlukan sokongan dua pertiga pemegang kepentingan.
Berjaya Lands mengundang penduduk untuk satu sesi pertemuan pada 17 September lalu namun ia kemudiannya dibatalkan.
Pada 4 Oktober ini, sesi ketiga pendengaran awam MPAJ berkenaan isu infrastruktur akan diadakan.
Tiada kesungguhan
Penduduk tempatan Abdul Aziz Ibrahim mengeluh kurangnya perhatian dalam merangka rancangan itu, dan yakin pihak berkuasa melakukannya kerana "ia dinyatakan dalam undang-undang".
"Mereka perlu buat setiap lima tahun. Jadi mereka buatlah, tapi seperti kata pepatah, 'lepaskan batuk di tangga'.
"Mereka fikir penduduk tak peduli dan akan terus bersetuju. Bagi saya, mereka tak berusaha untuk merangka rancangan tempatan yang bagus. Tiada perincian," kata pesara itu.
Menurut Aziz, penduduk di tempat tinggalnya, Taman Hijau berdepan "banjir buatan manusia" dan dia mencadangkan agar MPAJ meningkatkan pemantauan terhadap aliran air di seluruh Ampang Jaya.
Dengan adanya data berkenaan aliran air, katanya, MPAJ dan pemaju boleh melakukan simulasi dan mengenal pasti kawasan yang paling teruk berdepan masalah banjir.
Penyelaras AJ Rimba Noina Baharuddin pula berkata hutan di Ampang Jaya adalah kawasan tadahan air.
Ampang Impounding Reservoir yang dibina pada 1892 merupakan takungan pertama untuk membekalkan air minuman di Kuala Lumpur dan terletak di hutan di Ampang Jaya.
Bekalan air untuk Lembah Klang kini diambil di lokasi lain bagi memenuhi keperluan penduduk yang kian bertambah.
Membangkitkan tragedi Highland Towers pada 1993, Aziz mendakwa projek pembangunan masih dijalankan atas tujuan pembangunan ekonomi - di sebalik garis panduan yang dinyatakan dalam Rancangan Fizikal Negara.
Dia mendakwa sebelum ini ada rancangan untuk meratakan bukit berdekatan rumahnya untuk projek pembinaan banglo.
Dia berkata syarikat pemaju tidak sepatutnya cuba mengubah topografi semula jadi sesuatu kawasan.
"Ini bermakna jika kawasan itu ada sungai, anda perlu biarkannya. Jika ada cerun, biarkannya.
"Inilah sebabnya berlaku bermacam-macam bencana alam. Tetapi bencana alam kita buatan manusia," katanya lagi.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tinjauan mendapati 49 peratus pihak berkuasa tempatan (PBT) mengaku kurang kepakaran pengurusan cerun dan 81 peratus pula tidak melaksanakan penyelenggaraan.
Pekeliling kementerian yang dilihat Malaysiakini itu tidak menyatakan secara khusus 41 PBT yang terlibat dalam tinjauan yang dilakukannya, tetapi menyatakan 49 peratus PBT juga kurang struktur tadbir urus dalam isu berkaitan cerun dan tanah runtuh.
Haiwan liar
Aziz yang tinggal di pinggir Taman Hijau memberitahu dia pernah melihat haiwan liar seperti babi hutan, rusa jantan dan memerang di kawasan itu.
Malah, ada yang pernah melihat harimau kumbang menghampiri kawasan berpenduduk, dakwanya.
Sementara itu, penduduk di Taman Bukit Indah - kurang 4km dari Taman Hijau - turut melaporkan perkara sama.
"Ketika saya pulang dari sekolah, saya terserempak dengan babi hutan yang merayau di tepi jalan dekat Bukit Setia," kata seorang guru yang hanya mahu dikenali sebagai Zahid.
Krematorium
Sementara itu, penduduk Ampang Jaya juga tidak senang dengan cadangan membina krematorium di tanah perkuburan Cina dan Hindu di sepanjang Jalan Kolam Air Lama, dekat Taman Hijau.
Noina berkata sementara kawasan yang dicadangkan itu memang diwartakan untuk krematorium, lokasinya tidak menepati syarat "pada zaman ini".
"Kami bukanlah membantah pembangunan, tetapi membantah pembangunan tidak mampan dan (terutamanya) jika ia tidak mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan kepada semua orang," katanya.
Seorang penduduk tempatan yang hanya ingin dikenali sebagai Sara turut menyuarakan sentiman yang sama, dan menambah kawasan yang dicadangkan itu berdekatan dengan sebuah medan makan.
Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Selangor menetapkan sekurang-kurangnya kawasan seluas 0.6 hektar diperlukan untuk membina krematorium, dengan zon penampan seluas 6.1 kilometer.
Sara berkata ada garis panduan yang menghalang pembinaan krematorium di kawasan berpenduduk.
Kumpulan agama turut membantah cadangan itu.
Pengerusi kehormat Hindu Cemetery Crematorium Ampang Association Indrakaran T Khartigesu dilaporkan mendakwa tanah perkuburan itu tidak memiliki kawasan secukupnya untuk sebuah krematorium.
"Ini tapak lama dengan kawasan terhad. Kita telah peruntukkan baki kawasan untuk pengebumian di masa depan," katanya.
PBT telah pun membina sebuah kilang situ dan krematorium akan mengurangkan lagi keluasan kawasan yang ada, katanya lagi seperti dipetik The Star.