Bekas calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, Dr S Streram menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang diketuai bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin.
Ketika dihubungi Malaysiakinni, bekas timbalan ketua cabang PKR Rembau itu mengesahkan penyertaannya dalam PBM.
"Ya, saya masuk PBM bulan lepas di Seremban. Saya kini mengetuai bahagian PBM Seremban.
"Namun saya masih belum menyerahkan surat umum keluar parti kepada PKR," katanya kepada Malaysiakini.
Streram yang merupakan ketua cabang PKR Rembau dari 2018 hingga 2022 merupakan pakar bius di sebuah pusat perubatan swasta di Negeri Sembilan.
Dia sepatutnya bertanding mewakili PKR di Rembau pada PRU14, tetapi gagal berbuat demikian apabila mendakwa dihalang menghantar borang pencalonan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Hal itu menyebabkan Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu Mohamad Hassan menang tanpa bertanding.
Pada Nov 2018, Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Mohamad tidak sah dan terbatal.
Mahkamah Persekutuan kemudian mengekalkan keputusan itu serta mengarahkan pilihan raya semula diadakan.
Streram bertanding pada PRK Rembau pada 2019 namun kalah kepada Mohamad dalam pertandingan empat penjuru.
PKR jadi parti Melayu sentrik
Sementara itu, Streram berkata dia mengambil keputusan untuk keluar PKR kerana parti itu kini cenderung menjadi sebuah parti ‘Melayu sentrik’ atau berpusat kepada orang Melayu.
Malah katanya, khidmat pemimpin India dipinggirkan walaupun dia sendiri telah menyumbang kepada parti itu lebih 14 tahun.
"Khususnya di Negeri Sembilan, PKR telah menjadi Malay-Sentrik. Pemimpin India tidak lagi dihormati di Negeri Sembilan.
“Semua jawatan lantikan pemimpin India dipinggirkan,” katanya.
Streram mendakwa Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun gagal mentadbir negeri itu, dengan mengambil contoh pembinaan Pusat Perubatan Institut Neurosains (INS) yang sehingga kini masih gagal disiapkan.
"Sehingga kini kita tidak nampak apa-apa," katanya.