Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BELASUNGKAWA | Al-Qaradhawi - ulama reformis, tegas dan berani 

Almarhum Sheikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi tidak perlu diperkenalkan lagi. Ulama kelahiran Mesir ini  merupakan seorang tokoh ilmuwan yang cukup berpengaruh di dunia Islam. 

Ditakdirkan beliau terpaksa  menempuh kesukaran hidup apabila kehilangan ayahandanya di usia muda. 

Namun bakat selaku  ilmuwan telah terserlah apabila beliau berjaya menghafal al-Quran pada ketika usianya sembilan tahun.  

Kesukaran hidup disebabkan kemiskinan melahirkan jiwa yang kental lagi berani dalam menghadapi  cabaran dan ancaman tatkala menyarung jubah kebesaran sebagai seorang ulama. 

Beliau mendapat latihan dan pendidikan secara terus daripada Hasan al-Banna, pengasas pergerakan  Ikhwan Muslimin, sebuah gerakan dakwah yang cukup berpengaruh di Mesir ketika ini. 

Beliau ada  menulis sebuah buku yang dicatat dalamnya pemerhatian, juga untaian kata-kata nasihat sepanjang  beliau bersama Hasan al-Banna. 

Kekentalan jiwa beliau terserlah apabila telah dipenjarakan berkali-kali di usia muda.

Pemenjaraan  beliau membuatkan beliau agak terlewat dalam meraih ijazah kedoktoran tetapi tidak menumpulkan  ketajaman fikiran dan kecerdasan akal beliau, sehingga kajian atau tesis PhD beliau mendapat anugerah  tertinggi di Universiti al-Azhar pada masa itu. 

Kemuncak intimidasi terhadap beliau adalah, apabila beliau dihalau keluar dari Mesir lalu diberikan  perlindungan oleh kerajaan Qatar dan menetap di Dubai sehingga akhir hayat beliau. 

Persahabatan dengan Anwar 

Pada tahun 1974 beliau mendapat tugasan untuk ke Malaysia atas urusan Kerajaan Qatar. 

Beliau telah bertanya dengan beberapa rakan beliau di WAMY (World Assembly of Muslim Youth) siapakah pemimpin gerakan Islam yang wajar beliau temui. 

Teman-teman beliau mencadangkan agar  beliau bertemu dengan Saudara Anwar Ibrahim yang ketika itu sedang memimpin Angkatan Belia Islam  Malaysia (Abim). 

Bermula dari situlah perhubungan beliau dengan Anwar berlanjutan  hingga ke hari ini.

Beliau sendiri mengakui kekuatan Anwar selaku tokoh muda Islam yang mempunyai pemikiran yang baik  dan mampu berinteraksi dengan dunia Barat dan dunia Timur. 

Beliau sentiasa memberikan tumpuan  kepada Anwar Ibrahim dan bersedia memberikan pandangan dan nasihat. 

Beliau beberapa kali datang ke Malaysia semasa Anwar berada dalam kerajaan. 

Perbincangan perbincangan mengenai soal pemikiran, ekonomi, pendidikan serta hal ehwal politik antarabangsa yang  melibatkan umat Islam akan dikongsikan bersama. 

Perhubungan mereka menjadi lebih akrab. Anwar juga sering berhubung dengan anak lelaki Sheikh Yusof Qaradhawi iaitu  Muhammad. 

Penglibatan dalam reformasi 

Sokongan Sheikh Yusof Qaradhawi terhadap Anwar di era kebangkitan rakyat dapat dikesan  secara jelas menerusi satu dialog. 

Beliau diminta untuk memberikan pandangan berkaitan dengan fitnah  yang dilemparkan kepada Anwar pada tahun 1998. 

Beliau tanpa sebarang kesangsian  menyatakan ia adalah fitnah dan secara jelas ia termasuk dalam kesalahan qazaf. 

Kesalahan ini tertakluk  kepada hukum had (hudud) walaupun, ada juga ulama yang berpandangan ia adalah takzir kerana  melibatkan perlakuan liwat. 

Beliau juga berpandangan bahawa, mangsa fitnah berkewajipan untuk membela dirinya bagi  membersihkan maruah yang tercemar. 

Beliau juga menyeru agar masyarakat sekeliling bangun  membantu membersihkan nama mangsa fitnah terbabit. 

Beliau juga dengan jelas menyentuh peri laku  perdana menteri ketika itu (Mahathir Mohamad) yang sewajarnya melantik hakam bagi menyelesaikan  persengketaan antara beliau dengan Anwar. 

Ia mengambil contoh dari langkah yang diambil  oleh dua orang sahabat iaitu Ali bin Abu Talib RA dan Muawiyah Abu Sufian RA. 

Berikut adalah kata-kata beliau yang menggambarkan perasaan beliau ketika itu: 

"Amat besar harapan saya terhadap saudara-saudara besar saya di negara Malaysia tercinta, agar  mereka berusaha sedaya upaya untuk memadamkan api fitnah dan kembali bersatu padu memperkuatkan ketahanan bangsa, demi menghadapi pakatan-pakatan jahat yang dirancang oleh  kuasa-kuasa besar bagi menghancurkan mereka secara khas dan kaum Muslimin secara am. Dan itulah cara termudah bagi mereka menikmati kekayaan dan khazanah negara pada saat umat sedang dalam  kealpaan dan saling bercakaran sesama sendiri. 

Jiwa saya seperti berkecai dan hati saya rasa seperti dihiris melihat kejadian-kejadian yang berlaku  terhadap umat Islam. Allah telah menjadikan mereka sebagai umat terbaik untuk manusia, tetapi  sayangnya mereka saling melancarkan tipu daya untuk menjatuhkan satu sama lain. Akhirnya yang rugi  tentulah negara dan bangsa itu sendiri." 

Begitu bermakna sekali ucapan beliau yang jelas menggambarkan kekecewaan dan kesedihan dengan  fitnah yang dibuat ke atas Anwar. 

Beliau menegaskan tidak akan memijak bumi  Malaysia selagi Anwar tidak dibebaskan. 

Penyokong kuat reformasi rakyat Malaysia 

Kita semua maklum Anwar dibebaskan pada 2004 setelah menjalani hukuman penjara selama lima tahun. Beliau aktif semula di gelanggang siasah negara setelah itu. Hasilnya pada PRU ke 12, tahun 2008,  buat pertama kalinya majoriti 2/3 BN telah berjaya dinafikan oleh pembangkang. Melihat kepada  keadaan ini, BN mulai cemas dan bertindak melemahkan musuh politiknya menerusi pelbagai rancangan  jahat. BN yang bertukar nakhoda ketika itu dipimpin oleh Najib Razak. Sekali lagi fitnah digunakan untuk  melemahkan langkah Anwar Ibrahim. Plot-plot fitnah 2 diusahakan. Tidak sekadar itu, kekuatan Anwar  Ibrahim selaku pemimpin gerakan Islam cuba dimusnahkan. Ada yang termakan dan ada juga yang  melawan kembali.  

Menyedari kuatnya pengaruh Yusof Qaradhawi ke atas umat Islam di Malaysia, pihak kerajaan cuba  melunakkannya dengan menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 2009 kepada beliau. Setelah  upacara penganugerahan selesai, dalam satu ceramah di Masjid Negeri Selangor, Shah Alam, tanpa  berselindung beliau menyatakan dengan jelas: 

"Saya mengenali Anwar Ibrahim sejak 25 tahun yang lalu. Ketika itu Anwar adalah Presiden Abim.  Apabila Anwar menyertai kerajaan, hubungan kami masih akrab. Setelah Anwar difitnah dan  dipenjarakan, saya sering mendoakan agar beliau tabah dan tidak mengalah. Sekarang beliau adalah  harapan kepada rakyat yang mencintai keadilan dan keamanan sejagat. Saya minta tuan-tuan dan  puan-puan agar bersama-sama Anwar Ibrahim untuk mengangkat martabat kemanusiaan yang  meletakkan keadilan dan prinsip Isam sebagai asas perjuangan." 

Inilah teladan yang sukar dicari pada hari ini. Seorang ulama yang tegas dan jelas mempertahankan  perinsip dan kebenaran. Maruah dan pendirian beliau tidak dapat dijual beli. 

Menerusi pemikiran dan pengamatan yang tajam, beliau menyedari mengenai taktik yang dimainkan  oleh musuh-musuh politik Anwar. Gerakan Anwar terus diserang dari pelbagai sudut. Beberapa orang  pemimpin parti Islam sudah mula mengendurkan sokongan terhadap Anwar. Angin yang  menyemarakkan api permusuhan mula ditiup, bagi memecahkan kesepaduan Pakatan Rakyat ketika itu.  Ada kelompok agamawan tempatan yang terpengaruh. 

Tanpa keraguan, beliau sekali lagi mengutuskan surat. Kali ini surat tersebut ditujukan kepada Anwar, Abdul Hadi Awang dan pemimpin DAP agar terus mengekalkan perpaduan,  mengutamakan kesepakatan menerusi semangat musyawarah bagi mendukung Anwar  sebagai perdana menteri Malaysia. Beliau merayu dengan menyatakan: 

"Aku dan saudara-saudaraku berwasiat kepadamu (pimpinan PR) supaya kekal menjadi pasukan yang  satu, bersepakat dalam perkataan, mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri dan  membenci ke atas orang lain sebagaimana ia benci ke atas diri sendiri. 

“Segala kebaikan itu untukmu, saudara-saudaramu, negeri mu dan tiap-tiap orang yang mencintaimu.  Jangan benarkan perpecahan memasuki barisan kamu, tiadalah di belakang perpecahan itu selain  daripada kebinasaan dan kehancuran." 

Bagi mempertahankan saudara Anwar yang difitnah buat kali kedua, sekali lagi Yusof Qaradhawi  menegaskan menerusi satu rakaman video bahawa sesiapa yang merancang fitnah tersebut sama ada  secara langsung atau tidak langsung maka hukumnya adalah 'munafik'. Bagi mereka yang membantu  menyebarkan fitnah itu maka dia terjatuh dalam golongan fasik.

Pendirian beliau yang konsisten menyokong perjuangan rakyat Malaysia yang dipimpin oleh Anwar  diteruskan pada PRU ke-13. Sepucuk surat yang ditujukan kepada rakyat Malaysia secara jelas  memperakui kelayakan Anwar sebagai perdana menteri. Pernyataan itu diungkapkan seperti berikut: 

"Sesungguhnya saya sendiri berpandangan bahawa Anwar Ibrahim, berdasarkan sejarah dan  pengalaman, kebijaksanaan dan perjuangannya, kesabaran dan kecekalannya, sejak usia mudanya yang  awal hingga ke hari ini, juga kecintaan yang diperolehinya daripada orang yang baik-baik dari kalangan  rakyat Malaysia, dari kalangan orang Melayu dan Cina, maka dia selayaknya berada pada pilihan yang  paling atas untuk memegang jawatan ketua kerajaan dan perdana menteri bagi memimpin Malaysia" 

Surat ini telah dilancarkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri pada 26 April 2013 di Lembah Pantai.  

Halangan demi halangan terus wujud daripada mereka yang tidak mahu Anwar mengetuai  kerajaan Malaysia. Akhirnya beliau dimasukkan sekali lagi ke penjara akibat fitnah liwat kali kedua pada  2015, Yusof Qaradhawi terus mempertahankan sahabat beliau ini. 

Tanpa sebarang rasa ragu beliau mengirimkan sepucuk surat kepada kerajaan Malaysia menyatakan  kekesalannya kerana kerajaan Malaysia sekali lagi mengizinkan perbuatan fitnah ini melatari politik dan  kepimpinan negara. Beliau menyatakan: 

"Kalau saya meragui akan perbuatannya pada apa yang dituduh, pasti saya tidak menulis seperti apa  yang saya tulis sekarang. Sebenarnya, saya boleh untuk berdiam dari apa yang sedang dideritai Anwar  Ibrahim di penjara. Namun pengiktirafan kepada beliau, pengetahuan akannya dan kejujurannya, selain  kerana nasihat ikhlas daripada saya kepada rakyat dan kerajaan Malaysia; (semua itu) menghalang  saya untuk tidak berpihak dari topik ini." 

Allahyarham Sheikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi telah melaksanakan amanah keulamaan dengan  penuh kejujuran dan keberanian. Dari surat-surat mahu pun rakaman video, beliau cukup dekat dengan  perjuangan reformasi rakyat Malaysia. 

Sewajarnya kita selaku rakyat Malaysia berasa bertuah kerana mempunyai tempat yang istimewa di hati  dan sanubari seorang ulama ulung dunia. Marilah kita merenung dengan hati yang terbuka meneliti  sikap dan pendirian seorang ulama yang mengenepikan segala kesenangan dunia, mengharungi segala  kepayahan demi mencari keredaan Allah. Ketegasan Almarhum perlu dijadikan contoh oleh ulama di  Malaysia.  

Almarhum adalah reformis tulen yang mahukan dunia khasnya umat Islam bergandingan  memperjuangkan keadilan. 


AMIDI ABDUL MANAN ialah pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS