Walaupun larangan merokok di premis makanan dikuatkuasakan sejak tiga tahun lalu, penguatkuasaannya dilihat masih belum memberangsangkan.
Yang Dipertua Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health) Mohd Afiq Mohd Nor berkata kekurangan kakitangan mungkin menyebabkan penguatkuasaannya belum memuaskan.
"Mungkin tak cukup juga kakitangan, kita faham.
"Penguasaan itu mungkin kena rajin lebih banyak turun padanglah untuk melakukan lebih banyak penguatkuasaan dan kena lebih tahu kawasan tumpuan," katanya kepada Malaysiakini.
Afiq yang juga pakar perubatan kecemasan Universiti Malaya bagaimanapun mengakui kegiatan merokok di premis makanan sudah berkurangan.
Namun, katanya, di sebelah malam keadaan berbeza sama sekali.
“Orang yang merokok ini mengambil peluang untuk merokok lebih kepada waktu malam, mungkin 10 ke ataslah macam itu,” katanya.
Mohd Afiq mencadangkan penguatkuasaan larangan itu diperluas dengan memberi kuasa penguatkuasaan kepada polis dan pihak berkuasa tempatan, dan bukan hanya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Saya rasa ia lebih berkesanlah sebab ramai penguat kuasa yang boleh buat," katanya.
Berkaitan penggunaan teknologi, dia berkata aplikasi bagi membanteras aktiviti merokok di premis makanan boleh diperkenalkan bagi membantu orang awam melaporkan kesalahan itu.
Dia turut menyarankan agar imbuhan diberikan kepada restoran-restoran yang cakna terhadap penguatkuasaan larangan peraturan itu, antaraya diskaun lesen atau ganjaran hadiah.
Larangan merokok di premis makanan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2019.