Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Tiada masalah untuk ambil pekerja asing

Menteri Sumber Manusia M Saravanan menegaskan bahawa tiada masalah tertunggak dalam proses pengambilan pekerja asing.

Ini selepas kerajaan meluluskan pengambilan sekali untuk 10,000 pekerja dari Bangladesh untuk bekerja dalam sektor kritikal.

"Saya tak lihat ada majikan buat aduan tentang masalah pekerja. Saya berjumpa dengan FGV, Sime Darby Plantations dan mereka dah mula membawa masuk pekerja asing. Tak ada masalah," katanya.

Saravanan yang juga timbalan presiden MIC, bercakap kepada pemberita hari ini selepas sesi mingguan “Bertemu Pelanggan” kementeriannya yang diadakan di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur.

“Sekarang kita lihat bilangan yang tiba di Malaysia telah meningkat. Secara keseluruhan, kita hampir memenuhi semua keperluan semasa (untuk pekerja asing),” katanya.

Dia sebelum ini menjanjikan tempoh seminggu kelulusan untuk majikan yang memohon mengambil pekerja asing dari 14 negara sumber melalui Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

Kumpulan pertama 53 pekerja asing yang diambil di bawah syarat dua hala baru dengan Bangladesh tiba di Kuala Lumpur bulan lepas.

Sejak itu, Setiausaha Agung Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (Baira) Shameem Ahmed Chowdhury Noman memberitahu Malaysiakini hanya terdapat 2,209 pelepasan yang direkodkan.

“Setakat ini, terdapat 40,000 permintaan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh (di Kuala Lumpur) tetapi pelepasan adalah sangat rendah.

"Hanya 25 agensi boleh memberi jawapan untuk mobilisasi yang perlahan," kata Shameem yang sebelum ini mengetuai bantahan terhadap sindiket industri buruh.

Keperluan untuk pekerja

Mengulas lanjut, Saravanan berkata Malaysia merekodkan "bilangan yang memuaskan" pekerja asing jika mengambil kira mereka yang sudah berada di sini dan menunggu pelepasan dari negara sumber.

" Pada masa yang sama 10,000 ini kita perlukan emergency, urgent untuk sektor-sektor tertentu. Ada beberapa syarikat perlukan secara terdesak jadi kita bawa masuk secara one-off, bukan G2G, tapi melalui agensi,," katanya sambil menambah bahawa setakat ini 5,000 daripada 10,000 pekerja telah diambil.

Jumaat lalu (23 Sept), Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dalam pekeliling berkata ia diperuntukkan 2,100 pekerja dari Bangladesh dan syarikat ahli boleh mengambil sehingga 50 pekerja setiap seorang.

Di Bangladesh, proses pengambilan melibatkan Bangladesh Overseas Employment and Services Limited (BOESL) - sebuah agensi pengambilan milik kerajaan di bawah Kementerian Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Ekspatriat negara itu.

Saravanan baru-baru ini mendapat kecaman kerana dakwaan kelemahan dalam proses pengambilan pekerja asing, termasuk daripada pemimpin DAP Lim Guan Eng dan Ngeh Koo Ham.

Dia sebelum ini menerima cabaran Lim untuk menganjurkan mesyuarat di kementeriannya Rabu depan di mana pengerusi DAP itu berjanji akan membawa bukti dan saksi yang menyokong kritikan mereka.

Bertentangan dengan kenyataan Saravanan bahawa dia tidak menerima aduan, Ngeh dalam satu kenyataan hari ini berkata menteri itu mesti menyediakan dewan besar untuk "ratusan jika tidak ribuan majikan atau wakil mereka yang akan menghadiri mesyuarat" yang dijadualkan pada 5 Okt.

Ahli Parlimen Beruas itu juga memberi amaran bahawa Saravanan mesti bersedia untuk menunaikan janjinya untuk meletakkan jawatan sebagai menteri jika terdapat bukti kegagalan kementeriannya.

Penutupan sempadan akibat pandemik Covid-19 dan larangan pengambilan pekerja yang dikenakan oleh kerajaan Indonesia dan Bangladesh - dua negara sumber utama pekerja asing di Malaysia - membawa kepada kekurangan buruh yang kritikal dalam beberapa sektor, termasuk perladangan, pembuatan dan pembinaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS