Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Loke: Liu perlu hormat keputusan kolektif DAP
Diterbitkan:  Sep 29, 2022 9:05 PM
Dikemaskini: Sep 30, 2022 9:58 AM
  • RALAT: Tajuk berita ini ditukar supaya memberi gambaran lebih tepat. Kesilapan adalah dikesali.


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata Ronnie Liu harus menghormati dan tidak mempersoalkan secara terbuka pindaan antilompat parti dalam perlembagaan DAP yang diluluskan pada kongres khas parti itu Ahad lepas (25 Sept).

Ini selepas Liu, yang merupakan ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP, mendakwa parti itu "mungkin tidak demokratik lagi" berikutan pindaan itu.

Dalam rancangan bual bicara siaran langsung mingguan di laman Facebook DAP malam tadi, Loke menegaskan bahawa keputusan untuk meminda perlembagaan parti dibuat oleh CEC dan diluluskan oleh wakil parti.

Oleh itu, katanya, Liu tidak seharusnya mempersoalkan mahupun mencabar keputusan kolektif yang dibuat oleh parti.

Pada masa yang sama, Loke (di atas) mendedahkan bahawa Liu adalah satu-satunya ahli CEC yang mengundi menentang usul untuk meminda perlembagaan parti, sambil menambah bahawa Liu memang menyuarakan ketidaksetujuannya pada peringkat awal.

Dia berkata Liu mempunyai hak untuk tidak bersetuju dan ia telah diambil kira semasa kongres khas itu.

Bagaimanapun, tambah Loke, Liu harus menghormati dan mengikut keputusan parti dan menjunjung prinsip tanggungjawab kolektif memandangkan keputusan itu telah pun dibuat.

“CEC mengamalkan kepimpinan kolektif. Apabila keputusan dibuat, setiap ahli CEC perlu mengikuti dan mempertahankannya.

“Kemudian CEC membawanya ke kongres dan membiarkan wakil berdebat dan mengundi. Jadi, pada hari itu, hanya dua (wakil) yang mengundi menentang usul tersebut, salah seorang daripada mereka ialah Liu,” kata Loke.

‘Keputusan sudah diluluskan dalam kongres’

Loke menjelaskan bahawa dia tidak berhasrat untuk menyekat kebebasan bersuara dalam parti tetapi menekankan kepentingan tanggungjawab kolektif untuk mencegah sebarang sabotaj yang boleh menjejaskan operasi parti.

Ahli Parlimen Seremban itu memetik kabinet persekutuan sebagai contoh, mengatakan bahawa semua menteri terikat dengan keputusan kabinet walaupun ada menteri yang tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan.

Ahli jawatankuasa eksekutif pusat DAP Ronnie Liu Tian Khiew

“Jika anda mahu berbuat demikian (mengkritik keputusan itu secara terbuka) maka anda harus meletakkan jawatan dan berhenti. Maka ini (berhenti) boleh dianggap sebagai keputusan berprinsip.

“Apabila CEC membuat keputusan, ahli CEC harus menghormatinya. Dan kini, ia sudah diluluskan dalam kongres, anda boleh simpan percangahan pendapat anda, anda tidak boleh mempersoalkan dan mencabar keputusan itu lagi,” katanya.

Loke juga menegaskan bahawa memandangkan Liu tidak mempunyai latar belakang undang-undang, adalah tidak munasabah baginya mencabar keputusan yang dibincangkan oleh pakar undang-undang dalam parti mereka.

Dia berkata jawatankuasa pindaan perlembagaan parti termasuk Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, yang merupakan peguam.

“Jadi, dia (Liu) sebagai ahli CEC yang tidak mempunyai latar belakang undang-undang mendakwa ini bercanggah dengan perlembagaan.

"Tetapi adakah anda mahu mendengar dia atau seseorang yang mempunyai latar belakang undang-undang dan pengalaman?" soal Loke.

Pindaan kepada memecat ahli parti

Pada Ahad, DAP meminda perlembagaan partinya untuk memasukkan peruntukan melucutkan keahlian mana-mana ahli Parlimen atau Adun yang tidak mengikut keputusan parti.

Langkah itu diputuskan berhubung perundangan anti lompat parti yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan melalui rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai.

Pindaan pertama akan menyaksikan mana-mana ahli DAP yang merupakan ahli parlimen, Adun atau senator yang dilantik berhenti menjadi ahli parti jika mereka gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh CEC parti.

Pindaan kedua akan menambah peruntukan yang menyatakan CEC boleh mengeluarkan arahan khusus kepada mana-mana wakil rakyatnya di Dewan Rakyat, DUN atau senator yang dilantik.

Bagaimanapun, pada keesokan harinya, Liu yang juga Adun Sungai Pelek mendakwa hanya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) boleh menyelamatkan parti daripada merosot menjadi entiti yang tidak demokratik kerana pindaan berkenaan.

Dia berkata jika pindaan itu dilakukan sebelum ini, dia sudah pun disingkirkan daripada parti memandangkan dia lantang mengenai pelbagai isu, seperti kepimpinan Dr Mahathir Mohamad ketika Pakatan Harapan memerintah, penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim, penahanan 12 orang atas kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), dan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Tegas Liu, dengan pindaan itu, CEC akan mempunyai hak untuk mengeluarkan sebarang arahan yang menyasarkan mana-mana wakil rakyat.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS