Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis bidas PM kerana tak suarakan isu kematian Mahsa Amini di UNGA

Seorang aktivis hak asasi manusia yang disiasat polis kerana mengambil bahagian dalam upacara nyalaan lilin yang diadakan berhubung kematian Mahsa Amini, 22, warga Iran mempersoalkan sikap berdiam diri Malaysia berhubung insiden yang telah mencetuskan bantahan meluas di dalam dan luar republik Iran.

Penyelaras Suaram Wong Yan Ke berkata dia adalah salah seorang daripada empat individu yang disoal siasat di balai polis Daerah Petaling Jaya petang ini berhubung upacara nyalaan lilin yang diadakan di luar Kedutaan Iran di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Ditemui di pejabat Suaram di Petaling Jaya, Wong, yang menyifatkan siasatan polis ke atas aktivis sebagai pembaziran sumber awam, berkata kerajaan melalui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah terlepas peluang untuk menyatakan pendirian Malaysia semasa lawatannya ke New York untuk bercakap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77.

“Mengenai kes Mahsa Amini, kami meminta masyarakat antarabangsa mengambil tindakan, memberi tekanan kepada kerajaan Iran untuk menghormati hak kebebasan bersuara dan hak wanita di Iran.

"Berhenti menindas penunjuk perasaan, kerana terdapat laporan antarabangsa mengenai penutupan Internet dan penahanan besar-besaran dan juga kematian berikutan insiden itu," kata Wong.

Mahsa, 22, meninggal dunia di hospital Tehran pada 16 Sept, tiga hari selepas penahanannya oleh polis moral Iran kerana melanggar undang-undang wajib hijab.

Pihak berkuasa Iran dilaporkan telah menafikan dakwaan kekerasan yang membawa kepada kematian Mahsa, pada masa yang sama melancarkan serangan berterusan terhadap protes yang kebanyakannya dipimpin oleh wanita, mencetuskan kecaman global.

“Perdana menteri (Ismail Sabri) baru pulang dari Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan memalukan melihat beliau tidak membuat sebarang kenyataan mengenai kejadian itu.

“Terutama kerana kita begitu bersemangat untuk dipilih sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

"Sangat janggal untuk melihat perdana menteri dan Wisma Putra berdiam diri, lebih-lebih lagi dengan Malaysia sebagai negara majoriti Islam," kata Wong lagi.

Menurut Bernama, Ismail Sabri, yang berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan kerjanya ke New York dan Abu Dhabi, dalam ucapan di perhimpunan itu menyentuh pelbagai isu antarabangsa, termasuk konflik di Ukraine, situasi di Myanmar dan Palestin, serta keselamatan makanan dan perubahan iklim.

Wong menambah bahawa lebih banyak perhatian harus diberikan kepada ketidakadilan yang dilakukan di Iran di bawah Presiden Ebrahim Raisi - yang turut berucap kepada pemimpin dunia di UNGA - menimbulkan kebimbangan terhadap kesan keseluruhan kepolisan moral terhadap kebebasan individu.

Mengenai soal siasat hari ini, Wong berkata dirinya dan tiga yang lain - wakil Suaram Liau Pin Chun, peguam Siti Kassim dan warga Iran Davood Afkhami Zabol - disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal menyediakan tempoh lima hari yang diperlukan untuk makluman sebelum mengadakan perhimpunan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS