Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saravanan cadang kaji semula kriteria kelulusan tuntutan Perkeso

Menteri Sumber Manusia M Saravanan hari ini berkata sesi mingguan 'Bertemu Pelanggan' di kementeriannya menyaksikan peningkatan aduan daripada pekerja yang tuntutan pencen di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah ditolak oleh lembaga perubatan.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat MIC, di mana sesi yang diadakan setiap Khamis itu mengumpulkan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia dan orang ramai, Saravanan berkata dia secara peribadi sedih dan hairan dengan penolakan itu.

"Saya secara peribadi amat dukacita melihat kes-kes yang ditolak oleh jemaah doktor di KKM (Kementerian Kesihatan). Beberapa kes yang saya sendiri lihat, mereka memang tidak berupaya untuk bekerja.

"Saya tidak faham bagaimana jemaah doktor dari KKM boleh tolak kes-kes sebegitu. Mungkin saya perlu rakam video tunjuk kabinet kes-kes yang datang," kata timbalan presiden MIC itu yang hari ini meluangkan masa kira-kira tiga jam untuk bertemu sendiri lebih 100 pelanggan pelbagai agensi di bawah kementeriannya.

Turut hadir hari ini ialah pegawai Perkeso, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, HRD Corp, dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata dia akan mempertimbangkan untuk membentangkan bukti video aduan yang diterimanya kepada kabinet untuk pertimbangan menyemak semula kriteria permohonan semasa Perkeso.

“Saya pasti mereka tidak boleh bekerja, jadi bagaimana permohonan mereka boleh ditolak?

"Mungkin dah sampai masa kita perlu kaji kelulusan oleh jemaah doktor, kita perlu ada pendekatan baru untuk pastikan mereka dapat dibantu," katanya.

Antara yang dilihat berkumpul untuk bertemu Saravanan hari ini termasuk individu yang mengalami kecederaan fizikal atau sakit, ada yang berkerusi roda dan ada yang dibantu berjalan.

Bagaimanapun, ada juga yang berpakaian sut dan berbaju batik sambil menyampaikan pelbagai dokumen kepada menteri.

Di bawah pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini, menteri sumber manusia ketika itu M Kulasegaran telah menganjurkan sesi bertemu pelanggan mingguan yang sama tetapi diadakan di kementerian di Putrajaya, bukan ibu pejabat parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS