Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Spekulasi tukar kerusi: Loke kata DAP belum muktamadkan calon
Diterbitkan:  Sep 29, 2022 5:31 PM
Dikemaskini: 11:24 AM

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menafikan spekulasi kononnya terdapat rancangan pertukaran kerusi membabitkan kerusi Parlimen Klang dan berkata parti itu masih belum memuktamadkan senarai calon mereka untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dia mengulas spekulasi pertukaran kerusi yang mendakwa Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah sedang mengintai kawasan parlimen Klang pada PRU15.

Ean Yong Hian Wah

“Jawatankuasa lima anggota kanan DAP mengenai pemilihan pencalonan masih belum mengadakan mesyuarat, dan belum membuat sebarang keputusan.

“Jawatankuasa ini hanya akan bermesyuarat selepas parlimen dibubarkan. Mungkin orang bercakap mengenai susunan calon, tetapi buat masa ini, DAP belum membuat sebarang keputusan.

“Oleh itu, apa yang diperkatakan mengenai calon (di Klang) hanyalah khabar angin atau mungkin pendapat akar umbi. DAP belum memutuskan apa-apa lagi,” kata Loke dalam rancangan bual bicara langsung mingguan yang disiarkan di laman Facebook DAP malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo berkata terpulang kepada parti untuk menentukan calon dan kerusi yang mereka akan bertanding.

Gobind Singh Deo

“Soal calon mana yang akan bertanding di kerusi mana yang akan diputuskan oleh parti apabila pilihan raya diadakan.

“Setakat ini, saya hanya boleh kata, kita tunggu dan lihat apa yang berlaku,” kata Gobind kepada Malaysiakini ketika ditemui di perkarangan mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago semalam berkata dia tidak bercadang untuk mengosongkan kerusi yang disandangnya selama tiga penggal itu.

Charles Santiago

Dakwaan pertukaran kerusi berkenaan dilaporkan sebelum ini oleh akhbar The Star, yang memetik sumber.

Artikel itu mendakwa Ean Yong mendapat sokongan 28 cawangan DAP di Selangor untuk mengambil alih Klang.

Charles pula dilaporkan akan berpindah ke kerusi DUN Bandar Baru Klang, untuk mengambil alih daripada Teng Chang Kim yang akan bersara.


Laporan tambahan oleh Geraldine Tong


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS